September 2010

Kisah impianku membawa kesemua anak-anakku untuk menunaikan Haji bersama-sama. Sebuah perancangan , cabaran dan kesukaran yang pasti bukan kepalang payahnya . Inilah kisah sebuah perjalanan menuju Allah sambil anak-anak kami pimpin bersama . Tuhanku...mudahkanlah ia !

Ianya bermula sebaik sahaja aku pulang menunaikan Haji pada Tahun 2009. Sebuah keluarga membawa kesemua anak-anak mereka yang berusia belasan tahun untuk turut menunaikan Haji telah mencetuskan impian dan nekadku untuk turut mengikuti jejak mereka.




Pada Tahun 2017 , usia kami, Insya Allah :

Abah - 55 tahun ; Mama - 52 tahun ; Shafiq - 29 tahun ; Faisal - 26 tahun ; Alia - 19 tahun ; Aneesa - 17 tahun

Tuhanku berilah kami usia yang diberkati....

Thursday, October 14, 2010

Giliran Haji 24 tahun dari sekarang !

Alhamdulillah, akhirnya kami dapat juga mendaftar Haji untuk ke empat-empat anak kami dan giliran Haji mereka ialah tahun 2034. 24 tahun dari sekarang !



Seterusnya laluan mudah tidak berlaku pada kami berdua kerana baru sahaja pulang haji tahun lepas walaupun telah hampir setahun baru hendak mendaftar balik . Malangnya , permohonan kami untuk turut mendaftar sama seperti anak-anak kami hanya akan dapat dilakukan 5 tahun setelah pergi haji yang pertama . Bermakna pada tahun 2014 kami hanya akan dibenarkan mendaftar semula !

Secara tidak langsung kami terpaksa membuat rayuan atau mencari maklumat lain untuk membolehkan kami dapat pergi bersama-sama anak anak kami. Ibarat tiket untuk anak sudah dibeli, dan kami kena beli tiket kami dihari lain ! Inilah antara halangan yang kita kena lalui. Semua ini kerja Tuhan. Saya percaya segalanya akan menjadi mudah dengan pertolongan Allah. Jemputan ini urusan Allah sebenarnya. Ikhtiar dan usaha selain doa adalah tugasan kita sebagai hamba. Namun halangan kecil ini sedikitpun tidak mengocak resah dihati. Insya Allah , ada cara yang akan menyelesaikan masalah kami hendak mendaftar semula.

Pada saya yang penting 4 nama sudah dalam list daftar haji. Cuma 2 nama yang masih tercicir.

Ya Allah , berilah jalan dan cara ...

Wednesday, October 13, 2010

Kemampuan membuat haji perlu dicari, bukan ditunggu....

Saya tertarik dengan minda generasi muda yang kian banyak berubah tentang kepentingan melengkapkan Rukun Islam yang ke 5 sebagai agenda utama dalam hidup kita. Ianya bukan lagi agenda penutup usia yang hanya popular dikalangan datok dan nenek kita dimasa dahulu.

Bersesuaian dengan peningkatan ilmu, keupayaan dan jiwa yang sudah 53 tahun Merdeka dibumi bertuah ini iaitu Malaysia , sudah pasti satu perubahan budaya juga harus bertukar dimana agenda Haji adalah agenda utama sebelum kita melepaskan anak-anak kita memulakan hidup mereka. Mempunyai Ijazah dikalangan anak-anak kita sudah perkara wajib dan biasa kini menunaikan Haji seawal usia juga akan menjadi agenda biasa dikalangan generasi muda....


MENUNAIKAN HAJI DI WAKTU MUDA

www.abidfana.com

Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk menunaikan haji di waktu muda kerana kemurahan hati arwah ayah saya menanggung perbelanjaan haji semasa saya menuntut di Mesir dahulu. Tetapi dalam masa yang sama masih rasa terkilan kerana kesibukan duniawi masih menghambat tanggungjawab saya membawa isteri pergi ke sana. Bilalah agaknya saya boleh berasa kepuasan pergi ke sana dengan pendapatan tangan sendiri serta membawa isteri yang merupakan amanah Allah kepada diri saya.

Saya masih ingat, semasa menunaikan haji dulu, ada perbezaan yang ketara antara jemaah haji Malaysia dengan jemaah haji Indonesia, Turki, Iran dan Pakistan, sekadar memberikan beberapa contoh negara. Majoriti jemaah haji Malaysia agak ketara terdiri daripada pakcik makcik yang sudah berusia tua, melebihi usia pencen, bahkan ada yang sudah berbongkok tiga. Banyak ritual haji yang terpaksa diwakilkan kepada orang lain seperti melontar, sa’ie dan tawaf, lalu tidaklah merasa akan kepuasan atau tepatnya kelazatan membuat haji.

Seorang rakan baik saya semasa di KISAS, Kapten Amanul (juruterbang MAS) telah berkongsi satu capaian tapak sesawang yang cukup meruntun hati saya. Saya amat menggalakkan rakan-rakan untuk membaca artikel tersebut di sini. Ringkasnya, jemaah haji Malaysia adalah jemaah yang paling beruntung di dunia kerana mempunyai sistem pengurusan ibadah agung tersebut melalui Lembaga Tabung Haji. Dengan tidak sampai RM10,000, anda boleh berada selama 40 hari di tanah haram, lengkap dengan hidangan makanan yang banyak, penginapan yang terletak beratus-ratus meter sahaja daripada Masjidil Haram dan Masjid Nabi, serta pemandu (mutawwif) haji yang berpengalaman. Anda hanya perlu bayar dengan harga yang murah untuk ‘pelancongan’ 40 hari, pergi dan mengikut orang sahaja. Itu pun, majoriti yang pergi adalah warga emas.

Berbanding dengan jemaah haji dari Indonesia, dengan pendapatan mereka yang kurang berbanding Malaysia, mereka lebih melihat faktor kemampuan fizikal itu sebagai keutamaan untuk pergi menunaikan haji. Lalu ramai rakyat mereka yang berumur 40 tahun ke bawah, muda gagah perkasa mengharungi cabaran menunaikan rukun Islam kelima itu. Pakej paling murah untuk mereka menunaikan haji ialah RM15,000. Harga itu tidak termasuk makanan, dan penginapan yang disediakan letaknya lebih kurang 7 kilometer dari Masjidil Haram! Banyak urusan perlu dibuat sendiri.

Bila ditanya bagaimana mereka mampu menyediakan wang sebanyak RM15,000 itu; jumlah yang amat besar di Indonesia, mereka menjawab bahawa ada antara insitusi kewangan di negara itu yang menyediakan pakej bayaran ansuran, atau pinjaman tanpa faedah untuk pakej haji. Ulamak berselisih pandangan terhadap bayaran haji secara ansuran, kebanyakan yang saya baca menyatakan tiada nas larangan. Akan tetapi jumhur ulamak menyatakan orang yang tidak berduit (termasuklah pada pandangan saya mereka yang tidak layak untuk pakej ansuran seperti di Indonesia) sehingga terpaksa berhutang, tidak termasuk daripada golongan yang wajib membuat haji. Akan tetapi sekiranya mereka berhutang juga dengan lunas syara’, kewajiban membuat haji ketika mampu akan dianggap sudah terlunas.

DIBENARKAN BERLENGAH MEMBUAT HAJI KETIKA MAMPU, TETAPI PERLU BERSEGERA MENCARI MAMPU

Di dalam kitab fiqh, ada perbahasan ulamak mengenai kewajiban membuat haji, adakah ianya perlu disegerakan atau boleh dilambat-lambatkan. Saya ringkaskan pandangan ulamak seperti berikut:

1. Ibn Qudamah daripada Mazhab Hanbali, Imam Malik, Mazhab Zaidiyyah dan satu riwayat daripada Imam Abu Hanifah menyatakan yang haji wajib ditunaikan segera bagi yang mampu. Sekiranya dilewat-lewatkan, maka luputlah pahalanya walaupun terlepas kewajibannya. Hujjah pandangan ini adalah berdasarkan sepotong hadith Abu Daud yang disahihkan oleh Al-Hakim dan al-Zahabi:

من أراد الحج فليتعجل

Barangsiapa yang ingin membuat haji, maka bersegeralah.

Hadith di atas menggunakan kata perintah, dan kata perintah membawa maksud perlu bersegera ketika sudah mampu untuk menunaikan haji.

2. Imam al-Shafi’e pula berpandangan yang apabila seseorang itu sudah mampu, dibenarkan dia untuk berlengah atau tidak bersegera melakukannya pada tahun dia mencapai kemampuan tersebut. Pandangan ini adalah berdasarkan kepada sunnah Rasulullah yang hanya menunaikan haji pada tahun ke-10 hijrah, walaupun baginda dan sahabat-sahabat lain sudah mampu berbuat demikian mulai tahun kelapan hijrah lagi.

3. Adapun pandangan jumhur mazhab Hanafi menyatakan yang semua hujjah berkaitan isu ini, mempunyai hukum galakan bersegera dan dalam masa yang sama turut membenarkan berlengah-berlengah ketika mampu membuat haji, akan tetapi mereka cenderung menyatakan adalah lebih baik dan selamat untuk melaksanakannya dalam kadar yang segera.

Khilaf ini walau bagaimanapun, selalu dimanipulasi sebahagian Muslim. Perlu diperjelaskan yang memang ulamak berbeza pandangan terhadap hukum wajibkah bersegera atau boleh berlengah membuat haji ketika mampu. Akan tetapi semua mereka bersepakat yang mencari kemampuan untuk menunaikan haji adalah sesuatu yang dituntut, kerana Allah mewajibkan kita berlumba-lumba untuk membuat kebaikan, dan haji adalah antara kebaikan yang besar dalam kehidupan manusia. Kemampuan membuat haji perlu dicari, bukan ditunggu.

Salah faham ini menyebabkan sebahagian Muslim melengah-lengahkan usaha mencari kemampuan untuk melaksanakan haji, atau menggunakan kemampuan harta dan sihat yang sedia ada ke tempat lain. Maka tidak hairanlah segelintir umat Islam lebih dahulu sampai ke tempat-tempat suci agama lain berbanding ke tempat suci agama sendiri kerana tidak nampak kepentingan perlu bersegera membuat haji ini. Golongan ini sebenarnya terlalai dengan dunia, tidak sedar yang dunia yang Allah pinjamkan kepada mereka perlu diperuntukkan sebahagiannya untuk tambang haji.

Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana urusan ibadah kita sering dipermudahkan. Dalam konteks ibadah haji, kita mempunyai Lembaga Tabung Haji yang menguruskan ibadah haji kita dengan harga yang amat-amat murah. Cuti membuat haji pun biasanya diberikan dengan gaji penuh. Sekiranya kita mempunyai simpanan sebanyak RM1,300 di dalam akaun Tabung Haji, maka kita boleh mendaftar untuk membuat haji. Ada rakan yang memaklumkan giliran terhampir sekiranya mendaftar pada tahun ini, ialah pada tahun 2027; kebiasaannya akan diawalkan. Renungilah, berapa agaknya usia kita semasa itu. Atau, adakah Allah masih mengizinkan kita menghirup nafas lagi pada waktu tersebut. Mendaftar itu tanda niat kita. Sekiranya ditarik nyawa kita sebelum kita naik haji, dalam keadaan tiada siapa boleh mengganti haji kita, sekurang-kurangnya ada jawapan yang boleh diberikan di hadapan mahkamah akhirat kelak.

Saya benar-benar mencadangkan kepada ibu bapa supaya menggalakkan anak-anak menyimpan di dalam Tabung Haji sejak kecil lagi. Bagi mahasiswa, terutamanya yang ditaja di luar negara, merancanglah simpanan untuk menunaikan haji. Bagi graduan yang baru masuk alam pekerjaan, jangan terlalu ghairah membelanjakan wang besar untuk membeli simbol kekayaan dan kestabilan, sehingga terlupa menyediakan kemampuan untuk membuat haji. Adalah cantik sekiranya pasangan yang baru berkahwin, terus menunaikan haji ketika mereka belum mendapat anak lagi. Dan bagi mereka yang masih lalai untuk menyediakan kemampuan membuat haji, jangan lengah-lengah lagi. Marilah menukar budaya membuat haji semasa di usia senja, kepada membuat haji di usia muda.

Kesan daripada budaya pergi haji di usia tua itu ialah, ramai yang bersedih apabila menghantar saudaranya menunaikan haji, antaranya kerana merasakan itulah perjalanan terakhir mereka di muka bumi dan bimbang tidak akan berjumpa lagi. Sedangkan kita membuat haji, adalah untuk memenuhi tuntutan Ilahi, bukannya nak pergi mati.

Merancanglah sekarang sementara hayat dikandung badan.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menunaikan haji kepada semua jemaah haji khususnya rakyat Malaysia dari UK ini.

Tuesday, October 12, 2010

Daftar Haji



Tahun ini merupakan tahun yang paling ramai sahabat dan kenalan rapat kami akan menunaikan Fardhu Haji membuatkan keterujaan untuk turut mengikut jejak mereka begitu melonjak dihati. Rasanya ingin turut pergi mengikut mereka sudah tidak dapat ditahan-tahan. Padahal baru tahun lepas pergi tapi rasa rindu sudah menebal.

Kali ini juga menerima berita mereka akan pergi Haji turut memberi rasa lain . Kalau dulu bila dengar orang pergi haji , sekadar seronok melihat mereka dapat pergi tapi kini setiap kali seorang demi seorang memberitahu mereka akan pergi Haji, hati diusik sedih dan sayu. Sesekali airmata berlinangan. Mungkin bila kita sendiri telah melaluinya barulah kita tahu mengapa hati kita tidak lagi seperti dulu.

"Hari Khamis ni , abang free, kita boleh pergi daftar !", membuat hati ku sangat riang.

Permulaan pertama ialah mendaftar nama kami di Tabung Haji. Tidak sabar menanti esok...