September 2010

Kisah impianku membawa kesemua anak-anakku untuk menunaikan Haji bersama-sama. Sebuah perancangan , cabaran dan kesukaran yang pasti bukan kepalang payahnya . Inilah kisah sebuah perjalanan menuju Allah sambil anak-anak kami pimpin bersama . Tuhanku...mudahkanlah ia !

Ianya bermula sebaik sahaja aku pulang menunaikan Haji pada Tahun 2009. Sebuah keluarga membawa kesemua anak-anak mereka yang berusia belasan tahun untuk turut menunaikan Haji telah mencetuskan impian dan nekadku untuk turut mengikuti jejak mereka.




Pada Tahun 2017 , usia kami, Insya Allah :

Abah - 55 tahun ; Mama - 52 tahun ; Shafiq - 29 tahun ; Faisal - 26 tahun ; Alia - 19 tahun ; Aneesa - 17 tahun

Tuhanku berilah kami usia yang diberkati....

Thursday, November 17, 2011

Pinjaman Bank untuk menunaikan Haji.

Aku tertarik dengan isu menggunakan pinjaman bank untuk menunaikan Haji. Ini berlaku sewaktu kami diminta oleh ibu mertuaku untuk membiayai pemergian beliau menunaikan Haji pada tahun 1992 kerana usianya telah mencapai 48 tahun. Kami tiada pilihan selain terpaksa meminjam melalui bank kerana baru 5 tahun berkahwin , kewangan kami sangat tidak kukuh waktu itu . Apatah lagi mempunyai 2 orang anak selain menyara kehidupan ibuku kerana bapaku sudah melepaskan tanggungjawab untuk menyara kehidupan kami adik beradik.


Serba salah , akhirnya permintaan ibu mertuaku ditunaikan tanpa pernah tahu tentang isu samada boleh atau tidak menggunakan wang haji dengan pinjaman dari bank. Yang kami tahu , satu satunya sumber untuk dapatkan wang ialah dengan pinjaman bank. Tetapi usaha itu terlihat tidak sia-sia kerana itulah yang pertama dan mungkin yang terakhir kerana sejak itu , kami tidak pernah lagi pergi untuk Umrah mahupun menunaikan Haji kami tanpa perlu atau terpaksa meminjam melalui bank. Alhamdullilah semuanya adalah duit cash !

Semuga untuk sebuah manasik bersama kesemua anak-anak kami yang kami anggarkan sekitar RM180 ribu , akan kami dapat kumpulkan dari sekarang . Aku telah berkira-kira untuk menjual beberapa buah rumah kami , sekiranya tiada pilihan lain. Padaku yang lebih penting ialah menggunakan harta yang ada untuk beribadat kepadaMu. Usiapun semakin tersisa , hendak aku manafaatkan sebaik mungkin bukan sahaja untuk diriku dan suami malah untuk anak-anakku juga. Semuga anak-anakku menghargai hadiah yang kami usahakan bertahun tahun dari sekarang ... Ianya bukan mudah !



Boleh buat pinjaman peribadi tunai haji


PUTRAJAYA 4 Ogos – Umat Islam di negara ini boleh membuat pinjaman peribadi bagi menunaikan haji dengan syarat mereka mempunyai kemampuan membayar balik pinjaman tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, kaedah pinjaman masih boleh diterima walaupun syarat menunaikan haji memerlukan seseorang itu berkemampuan dari segi kewangan.

”Syarat mengerjakan haji adalah diukur dari segi kemampuan fizikal dan kewangan. Jika mereka mampu dan yakin dapat membayar balik kerana memikirkan soal kesihatan dan faktor umur sekiranya ditangguh, ia tidak menjadi satu kesalahan untuk membuat pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Intensif Bimbingan Haji anjuran Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji (Jawhar) di sini hari ini.

Seramai 310 bakal haji terdiri daripada penjawat awam dan keluarga masing-masing menghadiri siri pertama kursus dua hari yang bermula hari ini, manakala 320 peserta lagi akan mengikuti siri kedua pada 11 dan 12 Ogos ini.

Bagaimanapun, Mashitah berkata, Tabung Haji tidak memberi kemudahan pinjaman haji secara khusus kerana ia bertentangan dengan konsep menabung yang diamalkan oleh organisasi itu.

”Lagipun Islam menggalakkan supaya menabung bagi tujuan menunaikan haji iaitu dilakukan seawal usia dan apabila wang simpanan mencukupi barulah ia dikira sebagai mampu,” katanya.

Dalam pada itu, Mashitah menasihati bakal-bakal haji agar tidak berbelanja secara boros sewaktu menunaikan haji walaupun Islam membenarkan untuk menjalankan perniagaan dan berbelanja di sana.

”Haji ini merupakan satu perniagaan yang tidak merugikan kerana ia bukan sahaja sebagai satu ibadah tetapi mempunyai nilai-nilai ekonomi.

”Cuma kita tidak mahu ia lari daripada matlamat sebenar apabila pergi ke Mekah, iaitu tidak pergi ke masjid semata-mata ingin membeli-belah. Berbelanja tidak salah tetapi jangan secara berboros,” jelasnya.


No comments:

Post a Comment