September 2010

Kisah impianku membawa kesemua anak-anakku untuk menunaikan Haji bersama-sama. Sebuah perancangan , cabaran dan kesukaran yang pasti bukan kepalang payahnya . Inilah kisah sebuah perjalanan menuju Allah sambil anak-anak kami pimpin bersama . Tuhanku...mudahkanlah ia !

Ianya bermula sebaik sahaja aku pulang menunaikan Haji pada Tahun 2009. Sebuah keluarga membawa kesemua anak-anak mereka yang berusia belasan tahun untuk turut menunaikan Haji telah mencetuskan impian dan nekadku untuk turut mengikuti jejak mereka.




Pada Tahun 2017 , usia kami, Insya Allah :

Abah - 55 tahun ; Mama - 52 tahun ; Shafiq - 29 tahun ; Faisal - 26 tahun ; Alia - 19 tahun ; Aneesa - 17 tahun

Tuhanku berilah kami usia yang diberkati....

Friday, September 17, 2010

Syukur

Melihat kepada "besarnya" Masjidil Haram apabila ianya siap nanti, bermakna semakin jauh , jarak berjalan, jarak melihat kaabah juga semakin jauh, jarak masa untuk berada di Dataran Kaabah , mungkin mustahil waktu itu kerana limpahan jemaah yang akan menunaikan Haji akan berlipat kali ganda.

Kalau sekarang kita boleh melihat Kaabah dari tingkat atas dimusim haji dan melakukan sai di tingkat atas . Tidaklah dapat dibayangkan bagaimanakah ia , apabila ianya siap nanti. Syukur amat kerana aku pernah mencium Hajar Aswad sebanyak 2 kali, pernah melihat pintu Kaabah dibuka , penah solat di Hijr Ismail, pernah bergayut di Multazam, pernah solat di Dataran Kaabah sepuas-puasnya, pernah memegang kelambu Kaabah dan mencium dinding Kaabah, pernah puas melakukan tawaf sedekat dekatnya Kaabah sepuas puas keliling... antara jejak jejak yang akan menjadi saksi , aku ini hambaMU.

Suatu hari nanti ianya akan hanya tinggal kenangan kerana jarak pasti semakin jauh, selain makin sukar untuk rapat ke Kaabahmu dan usiaku yang semakin meningkat pasti keupayaanku juga terbatas....




Terima kasih TuhanKu , berikan aku ruang, berikan usia yang sihat untuk aku sujud di KaabahMu , berikan aku peluang merasai semua kenangan yang sangat indah terpahat di jiwa dan ingatanku.

Bagaimana 'syukur" yang selayaknya buatMU dari hambaMu yang hina ini....

RM180 ribu !



"Kita budget RM30 ribu seorang", ujar suamiku , mengambil kira tempoh 7 tahun akan datang , kenaikan harga pakej pasti tidak sama seperti sekarang. Kalau tahun lepas kami pergi untuk pakej 6 orang 1 bilik dengan harga RM20,000 seorang, Ini bermakna kami anggarkan sekitar RM10,000 tambahan kalau 7 tahun dari sekarang.

Waktu itu Masjidil Haram yang didalam proses dibesarkan pasti telah siap . Lrt ke Mina juga dijangka siap. Berbagai pemodenan akan berlaku sewaktu kami menunaikan Haji nanti dimana kemudahan akan semakin bagus sekaligus memudahkan kami membawa anak-anak kami.

Sewaktu menyusuri Mina sewaktu Haji tahun lepas , apabila melihat construction untuk membina LRT sudah mula dibuat , "Mama nak rasa buat Haji dengan menaiki LRT pula ke Mina", bisik hati kecilku.

Jadi , ianya sememangnya projek "final" kami dan ianya sangat besar kerana kami kena mula mengumpulkan wang setidak-tidaknya RM180,000.00 dari sekarang ! Nilai yang kalau kita tidak nekad akan tersasar untuk perkara lain seperti rumah dan kereta tetapi nilai itu terlalu kecil kalau dilihat dari sudut saham akhirat kami anak beranak kerana modal yang sangat besar juga diperlukan untuk kehidupan di akhirat . Beribu tahun di alam akhirat, rasanya tidak setanding dengan nilai RM180 ribu. Itu belum dicongak, modal yang diperlukan di alam kubur. Kita boleh memiliki nilai rumah dan harta benda lain melebehi RM1 juta tanpa rasa terbeban, apalah nilai RM180 ribu untuk rumah kita diakhirat sana....

Mungkin rasa takut yang amat membuat aku bekerja keras untuk kehidupan akhirat untuk kami anak beranak. Tidak tergamak hanya memikir akhirat diri sendiri kerana kasih ku tidak terhingga kepada kesemua anak-anakku memaksa aku tidak tergamak membiarkan mereka lakukan sendiri. Selagi nafasku ada , aku akan pastikan mereka turut ada bersamaku juga di akhirat nanti. Inilah antara ikhtiarku . Setidak-tidaknya bila mereka telah sempurnakan Rukun Islam yang ke 5 didepan mataku sendiri, kalau aku mati , aku dapat pergi dengan rasa syukur dan puas hati .

Berkatilah usaha kami ini , Ya Allah. Tidaklah aku mampu tanpa pertolonganMu.....

Aku percaya dengan pertolonganMU Ya Allah, ianya akan dimudahkan, Insya Allah....



Calon Haji 2010

Beberapa nama kawan-kawan kami telah "confirm" dapat menunaikan Haji pada tahun ini termasuklah adik bongsu aku, Azrol . Mereka yang dapat pergi , hati ini pula yang teruja kegembiraan. Rasanya mahu ikut serta. Tak puas dengan Haji tahun lepas, kalau mampu mahu aku ulangi lagi saat itu.

"Abang nak beli kain ihram", bisik suami ku sebaik pulang dari ofis. Aku pula tidak membantah sememangnya seronok untuk turut "menumpangkan" bahagian kami dalam Haji mereka. Elok juga cadangan suamiku untuk belikan kain ihram kerana ianya sangat penting dan amat berguna untuk digunakan disana. Setidak-tidaknya dengan memakai kain ihram yang kami hadiahkan sedikit sebanyak kami dapat juga tempas ibadat mereka.
Semuga mereka mendapat Haji yang Mabrur. Tarikh finalise belum lagi diperolihi oleh adik saya tapi dijangka antara 2/ 11 atau 3/11. Kami pula perlu mengetahui tarikh tersebut untuk merancang cuti supaya dapat turut serta menghantar adik saya di Kelana Jaya nanti.


Thursday, September 16, 2010

Berita yang tidak di duga !

"Cek nama you boleh masuk akaun bisnes you tak?", tanya suamiku tiba-tiba sebaik pulang dari kerja.
"Tak kot", jawabku ringkas , acuh tidak acuh. Aku memang malas bercerita tentang duit . Walaupun duit itu untuk diriku.

"Ada orang nak bagi duit kat you", suamiku cuba menarik perhatianku.
"Ala , duit insuranlah tu", sambil fikiran ku fokus pada "cinta kirana", sinetron yang menjadi tontonan aku dan anak anak gadisku setiap petang. Sesekali merasakan perbincangan suamiku benar benar mengganggu tumpuan kami.



"You ada akaun nama you tak", jelas suamiku untuk menarik perhatianku.
"Ala , suruh dia orang bubuh nama abang ajelah, Mama malaslah nak pergi bank".
"Tak boleh, Penama nama you, kena buka akaun nama you".
"Bagilah borang , so that I appoint you to get the money".

Suamiku ketawa dengan cadanganku, memang memahami kerenahku yang begitu malas untuk ke bank apatah lagi urusan kewangan.

"Abang kan ramai kawan kat bank, suruhlah dia orang buka akaun untuk mama so mama tak payah datang ofis dia orang, mama malaslah". Aku mula merungut apabila mula terasa suamiku akan memaksa aku untuk ke bank menguruskan hal insuran tersebut.

"You tau tak kita dapat berapa" , tanya suamiku seperti seronok semacam.
"kan 5 ribu!", malas melayan suamiku yang beria-ia benar hendak aku bercerita dengannya.

Lagipun jumlah itu aku dah tahu 5 ribu dari duit insuran dan 5 ribu lagi aku harus memujuk suamiku keluarkan duit ASB tapi aku tidak bercadang untuk memujuknya hari itu. Nantilah bila ada mood nak pujuk baru aku bentangkan cadangan itu pada suamiku. Tapi yang jelas di ingatanku "bukan sekarang dan bukan hari ini".

"Kita dapat bukan 5 ribu tapi lebih", suamiku mula memberi hint.
"Mustahil, kan kita dah keluarkan as Loan dulu", jawabku tidak mahu mempercayai suamiku kerana agakan suamiku saja nak mengenakan aku.

"14 ribu"
"Betul ke ni, mana boleh dapat banyak tu , kita kan dah buat loan, deduction cuma tinggal 5 ribu", aku cuba yakinan suamiku.
"Betul Mama , abang dah talifon dan confirmkan".

Ya Allah syukurnya tidak terduga. Macam mimpi.

Mudahnya Kau cukup wang pendahuluan untuk kami mendaftar Haji tanpa kami menduganya sama sekali. Keajaiban yang mula terasa seolah olah impianku yang paling sukar ini di restuiNya.

Minggu hadapan , apabila Shafiq dan Faisal telah selesai peperiksaan semester , kami akan ke Tabung Haji untuk urusan membuka akaun untuk Faisal , Alia dan Aneesa dan seterusnya membuat pembayaran pendahuluan untuk mendaftar nama kami serentak.

Termenung.

Sungguh aku tidak percaya semudah ini kami dapat kumpulkan duit sebanyak itu.

Sekelip mata seperti bermimpi.
Hatiku bergelodak riang sekali....



Kenapa riang ?

Sebelum hadirnya Syawal, aku lihat suamiku kelihatan berwajah lega walaupun pihak majikannya cuma umumkan gaji 1/2 bulan , tidak 1 bulan bonus "in advance" seperti tahun tahun sebelumnya. Aku pula tidak dapat banyak membantu kerana bisnes memang banyak terjejas kerena aktiviti ke Masjid untuk bertadarus dari 1 Ramadhan hinga 17 Ramadhan benar-benar hilangkan fokusku untuk bisnesku. Entah mengapa sejak pulang dari Haji dan Umrah beberapa bulan yang lalu, semangat kerja semakin pudar . Aku lebih asyik dengan aktiviti di masjid selain kelas-kelas pengajian agamaku. Dunia sudah semakin tidak menerujakan.

Mujur pendapatan bisnesku sentiasa cukup untuk membayar komitmen perjanjian antara aku dan suamiku dimana sejumlah wang perlu aku pastikan ada setiap bulan untuk pembayaran kos kehidupan kami yang sememangnya tinggi. Tapi hairannya , walaupun aku cuma kerja ala kadar, tapi semuanya sentiasa cukup setiap bulan malah lebihan untuk aku berbelanja setiap bulan tidak pernah tidak ada. Syukur tidak terhingga pada Illahi kerana "cukupkan segala" walaupun sesekali aku risau dengan sikap sambil lewaku dengan kerja kerja bisnesku.

Mujur juga kerana pendapatan suamiku selalu lebih dari mencukupi secara tidak langsung membuatkan aku selalu 'sambil lewa" untuk bekerja. Sebab itu bila suamiku memberitahu cuma dapat 1/2 bulan gaji untuk persiapan Hari Raya kami, membuatkan aku sedikit risau. Tetapi aku mula perasan, wajah suami sedikit pun tidak menunjukkan reaksi risau.

"Cukup ke duit kita nak raya ni bang", tanyaku di suatu hari. "Jangan risau", sambil melihat wajahku dan tersirat sesuatu yang disimpan. 23 tahun mengahwini lelaki ini membuat aku dapat menelah sesuatu yang dirahsiakan. Mungkin pandangan yang "curious" diwajahku membuat suamiku menceritakan tanpa perlu di minta.



"Kita dapat duit insuran". (Insuran Pendidikan anakku Shafiq akan matang pada usianya 21 tahun. Kami ambil Insuran Pendidikan untuknya pada usia Shafiq 4 tahun. Siapa sangka ianya berguna untuk kami setelah 17 tahun!)
"Betul ke?", kerana seingat aku , duit itu akan kami dapat tahun hadapan.
"Lepas raya ni kita dapat", jawab suamiku.
"Hmmm oklah tu, boleh kita gunakan untuk daftar Haji".
"Berapa....5 ribu kan, cam yang abang bagi tahu dulu". Suamiku mengangguk mengiakan.

Hati mula seronok kerana selepas Hari Raya kami boleh mendaftar Haji . Tapi cuma ada 5 ribu . Akaun Tabung Hajiku masih tersisa 2 ribu bermakna aku tidak perlu risau bahagianku , tetapi untuk 5 orang lagi , kami perlukan 10 ribu. Duit insuran cuma dapat 5 ribu , bermakna hendak dicari Rm 5 ribu lagi....

Dalam ingatanku ialah memujuk suamiku mendahulukan duit simpanan ASB....tetapi ingatan itu hilang begitu sahaja dek kerana sibuk menguruskan persiapan raya...


Mencari Wang !

Sepulangnya aku dari menunaikan Haji pada tahun 2009 , aku kena mula mengumpulkan wang pendahuluan untuk mendaftarkan Haji untuk kami 6 beranak. Ini disebabkan kesemua wang simpanan kami di Tabung Haji telah habis kami gunakan untuk menunaikan Haji baru-baru ini. Tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya aku kerana 3 bulan pulang dari menunaikan haji , aku mendapat lebihan wang bisnesku untuk bulan itu sekitar 12 ribu , cukup untuk kami 6 beranak. Kami perlukan RM2 ribu seorang untuk daftar haji dan ianya kena kami lakukan serentak supaya nama kami akan menjadi 1 kumpulan . Ini akan memudahkan urusan kami pergi bersama-sama nanti.




Tapi ujian yang tidak kami duga bermula apabila kami kena membuat pilihan samada menggunakan duit tersebut untuk wang pendahuluan Haji atau memenuhi permintaan ibu mertuaku untuk menunaikan Umrah dimana bapa mertuaku seboleh mungkin mahu suamiku yang membawa mereka menunaikan Umrah bersama mereka. Kami cuba memujuk supaya mereka pergi bersama anak-anak mereka yang lain kerana kamipun baru 3 bulan pulang dari menunaikan Haji waktu permintaan itu disampaikan kepada kami. Tapi apakan daya bila ibu mertuaku menyampaikan "Bapak hanya hendak pergi dengan Kamal".


Pada mulanya suami saya mahu menunda untuk membawa kedua ibu bapanya menunaikan umrah pada tahun hadapannya , iaitu Tahun 2011 tetapi entah mengapa hatiku terdetik menunggu 1 tahun lagi terlalu lama untuk mereka. Atas kerelaanku supaya suamiku dapat menunaikan tanggungjawab sebagai anak , aku benarkan suamiku untuk menggunakan wang RM12 ribu itu untuk membolehkan kami menemankan kedua mertuaku. Walaupun pada mulanya suamiku berkeras tidak mahu pergi kerana masih terlalu awal untuk beliau memohon cuti lagi kerana baru sahaja pulang dari Haji tetapi pujukanku akhirnya diterima juga.

Tapi siapa sangka kami dapat juga menyempurnakan Umrah kami bersama mereka tanpa sedikitpun halangan yang besar. Sebuah tanggungjawab yang sudah terlaksana kini harus kami teruskan dimana punca untuk mencari wang pendahuluan untuk kami menunaikan Haji.

Makin lama di tunda akan makin sukar kepada kami kerana "que" sepatutnya mungkin sudah mencapai tahun 2025 atau lebih. Tetapi melalu pakej , kami mungkin boleh membuat rayuan tetapi tentunya prosedur biasa ialah meletakkan wang pendahaluan selain mendaftar nama kami kesemuanya.

Kadang-kadang terdetik dihatiku, apakah anganku kali ini hanya sekadar angan yang tidak termampu untuk kami penuhi. Mencari wang pendahaluan untuk mendaftar sahaja sudah tertunda , bagaimana untuk mengumpul wang untuk 6 orang !