Beliau berkata, hasil kajian jawatankuasa khas itu akan membantu pihaknya mencari satu kaedah bersesuaian bagi memendekkan tempoh menunggu bakal jemaah Haji yang telah mendaftar.
"Ini kerana jika ikut sistem sekarang, bakal jemaah haji kalau daftar selepas lima tahun secara automatik baru nama akan naik.

"Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang banyak anak-anak muda dapat tunai haji kerana sejak lahir ibu bapa terus daftar nama dengan Tabung Haji malah ada yang letak RM10,000 di dalam akaun simpanan anak-anak mereka dan apabila usia anak-anak mencecah 13 atau 14 tahun nama akan naik untuk pergi haji," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim Haji 1436 Hijrah di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini, semalam.

Abdul Azeez berkata, sehingga kini jumlah pendaftaran haji melebihi 1.8 juta orang dengan tempoh menunggu mencecah hampir 77 tahun.

Menurut Abdul Azeez, jawatankuasa khas itu akan diketuai beliau sendiri dan akan ditubuhkan secepat mungkin. - BERNAMA