September 2010

Kisah impianku membawa kesemua anak-anakku untuk menunaikan Haji bersama-sama. Sebuah perancangan , cabaran dan kesukaran yang pasti bukan kepalang payahnya . Inilah kisah sebuah perjalanan menuju Allah sambil anak-anak kami pimpin bersama . Tuhanku...mudahkanlah ia !

Ianya bermula sebaik sahaja aku pulang menunaikan Haji pada Tahun 2009. Sebuah keluarga membawa kesemua anak-anak mereka yang berusia belasan tahun untuk turut menunaikan Haji telah mencetuskan impian dan nekadku untuk turut mengikuti jejak mereka.




Pada Tahun 2017 , usia kami, Insya Allah :

Abah - 55 tahun ; Mama - 52 tahun ; Shafiq - 29 tahun ; Faisal - 26 tahun ; Alia - 19 tahun ; Aneesa - 17 tahun

Tuhanku berilah kami usia yang diberkati....

Thursday, November 26, 2015

70 tahun tunggu tunai haji

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Sebahagian daripada 1.8 juta umat Islam daripada pelbagai peringkat umur di negara ini yang telah mendaftar untuk menunaikan ibadah haji perlu menanti antara 70 hingga 77 tahun sebelum berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima itu.


Sekalipun tempoh penantian untuk berpeluang menunaikan haji dilihat sebagai sesuatu yang mustahil, namun itulah realiti yang perlu dihadapi dan ditangani oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) iaitu agensi yang diberi tanggungjawab mengendalikan urusan haji.


Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, tempoh penantian itu juga boleh menjadi lebih lama lagi memandangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peruntukan kuota haji untuk Malaysia oleh kerajaan Arab Saudi yang selama ini berjumlah 28,000 jemaah telah dikurangkan.

Menurut beliau, pada 2012, kuota yang ditawarkan kepada Malaysia berjumlah 20,000 jemaah dan angka itu menurun kepada 21,000 pada tahun 2013 sebelum meningkat kepada 22,800 pada 2014.
“Itu kalau tiap tahun kita dapat kuota 28,000 setahun tetapi jika kurang (kuota) maka tempoh menunggu akan berpanjangan melebihi 70 tahun.

“Dengan lain perkataan, jika anda mendaftar untuk menunaikan haji pada hari ini, bermakna anda akan menunggu sehingga 70 tahun untuk berpeluang menunaikan haji,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ke­syukuran Tamat Operasi Haji Mu­sim Haji 1436/2015M di Ibu Pejabat Tabung Haji, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pe­ngarah Urusan Kumpulan dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail.
Utusan Malaysia difahamkan, daripada jumlah 1.8 juta pendaftar haji itu, 10,000 daripada mereka merupakan bakal jemaah warga emas yang berusia 75 tahun ke atas.

Dalam konteks pendaftar warga emas, Abdul Azeez berkata, bagi membolehkan kesemua golongan ini menunaikan haji sekali gus, mereka perlu membawa pengiring yang jumlahnya kelak akan me­lebihi separuh daripada kuota yang dibenarkan.

Sementara itu, beliau membe­ritahu, jumlah yang berdaftar untuk mengerjakan haji juga dijangka bertambah lebih tinggi lagi apabila terdapat 8.6 juta umat Islam di negara ini yang merupakan pendeposit atau pemegang akaun di Tabung Haji.

“Apabila simpanan telah mencukupi pastinya kebanyakan pendeposit akan mendaftar untuk menunaikan haji,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Tabung Haji katanya, akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mencari kaedah yang lebih berkesan untuk menyelesaikan pendaftaran haji yang telah melebihi 1.8 juta orang.

“Jawatankuasa tersebut akan dibentuk pada Disember ini dengan saya sendiri akan mengetuainya bagi memperhalusi kaedah-kaedah untuk membolehkan senarai me­nunggu ini dapat dikurangkan de­ngan banyak,” katanya.

Abdul Azeez berkata, jawatankuasa tersebut juga bakal menyemak semula tawaran haji yang akan diberikan kepada bakal jemaah yang mendaftar semula selepas lima tahun menunaikan haji.

“Mungkin kita akan lanjutkan kepada 10 tahun atau 15 tahun dan begitu juga tawaran diberikan kepada golongan kanak-kanak dan remaja yang nama mereka naik selepas lima tahun mereka didaf­tarkan untuk menunaikan haji oleh ibu bapa mereka,” katanya.



~ kita hanya mampu berusaha dan berdoa namun rezeki menunaikan haji hanya Allah jua yang tahu bagaimana cara kita dapat menjadi "tetamuNya".

Selagi kita yakin atas ketentuanNya selagi itulah tiada yang mustahil ....

 

Kerajaan kaji sistem giliran tunai haji

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula sistem giliran menunaikan haji, kata Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau berkata, hasil kajian jawatankuasa khas itu akan membantu pihaknya mencari satu kaedah bersesuaian bagi memendekkan tempoh menunggu bakal jemaah Haji yang telah mendaftar.
"Ini kerana jika ikut sistem sekarang, bakal jemaah haji kalau daftar selepas lima tahun secara automatik baru nama akan naik.

"Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang banyak anak-anak muda dapat tunai haji kerana sejak lahir ibu bapa terus daftar nama dengan Tabung Haji malah ada yang letak RM10,000 di dalam akaun simpanan anak-anak mereka dan apabila usia anak-anak mencecah 13 atau 14 tahun nama akan naik untuk pergi haji," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim Haji 1436 Hijrah di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini, semalam.

Abdul Azeez berkata, sehingga kini jumlah pendaftaran haji melebihi 1.8 juta orang dengan tempoh menunggu mencecah hampir 77 tahun.

Menurut Abdul Azeez, jawatankuasa khas itu akan diketuai beliau sendiri dan akan ditubuhkan secepat mungkin. - BERNAMA

Sunday, November 9, 2014

AL QURAN



Sekian lama aku mencari Al Quran yang mempunyai transliterasi sejak diberitahu oleh Mak Ungku , dimana beliau membeli buku itu di Dubai , kalau tidak silap.  Sewaktu menunaikan haji pada tahun 2009 aku mencari Al Quran tersebut di Makkah dan Madinah tetapi tiada. Mencari lagi pada tahun 2010 dan 2012 sewaktu ke Umrah tetapi tidak juga jumpa jumpa.

Tanpa disangka melihat message seorang kenalan di FB tentang AL Quran ini buat aku teruja untuk memilikinya.  Alhamdullilah , akhirnya aku dapat juga AL Quran yang aku cari cari sekian lama. Semakin mudah pembacaanku kerana panduan tajwid berserta transliterasi melancarkan bacaanku.  Bila tidak yakin , kemujuran aku mempunyai dua anak gadisku yang lancar mengajar dan membimbing aku tentang tajwidnya .  Syukur kedua anak gadisku khatam Al Quran pada usia 10 tahun dan kelancaran tajwid mereka selalu membuat aku kagum.  Kalau dulu aku yang ajar mereka mengajar sekali sekala tetapi kini mereka pula menjadi ustazahku.

Kemaruk mengaji , hampir sepanjang hari mengaji dan mengaji sejak memiliki Al Quran ini.

Sungguh aku bersyukur selain bacaan terjemahan AL Quran , kini mengaji Al Quran menjadi rutin yang semakin menyeronokkan.  Baru seminggu mendaftar haji ,  persiapan seperti hendak pergi haji  .... 

Saturday, November 1, 2014

62 tahun lagi !



Sebenarnya agak sedikit kecewa ,  bila telah genap 5 tahun penantian menjelang Hari Raya Aidil Adha , dek kekangan  kewangan dalam berbagai masalah , akhirnya dari sehari demi sehari impian untuk mendaftar balik tertunda tunda.  

Bonus nanti !  Bisik hati memujuk .

Tanpa diduga menerima message whatsap berkenaan dengan cuma membawa slip EPF untuk mendaftar.  Riang hatiku tidak terkira mendapat cara yang tidak aku sangkakan tanpa perlu mengeluarkan sesen pun wang untuk mendaftar semula.

Alhamdulillah , terlalu nikmat rasanya menanti sekian lama akhirnya dapat juga impian ku untuk mendaftar semula menjadi realiti yang aku tunggu tunggu sekian lama.

Padahal sudah pernah pergi haji tetapi bila dapat daftar semula riangnya seperti saat aku menerima surat tawaran haji dulu  seperti terulang balik.  

Sungguh aku bersyukur walaupun giliran menanti 62 tahun lagi !

Ujian kesabaran telah aku lalui , kini ujian mengumpulkan duit penuh secepat mungkin pasti bukan kepalang sukarnya.  Namun sedikitpun aku tidak patah semangat.  Berselirat dugaan namun aku tetap mahu kesana  lagi ....

Labaikallah Humma Labaik ! !



Sunday, March 31, 2013

Doa

. "Kau Permudahkanlah semuga Haji kami akan dapat kami lakukan bersama kesemua anak-anak kami".

Itulah doa yang tidak pernah terlepas untuk aku lafazkan sejak 4 tahun yang lalu ...

Itulah doa yang selalu buat aku resahkan kalau ianya tidak tercapai ..
Itulah doa yang aku takut kalau aku terlupa membacanya ..
Itulah doa yang menguatkan untuk aku terus mengumpul kekuatan dari segi emosi , fizikal malah kewangan ..
Itulah doa yang kujadikan amanah untuk aku sempurnakan sebaik mungkin
Itulah doa yang selalu membuat aku menangis ..
Itulah doa yang termimpi mimpi bersama permata permata hatiku di Arafah , Mina dan Mudzaliffah ...
Itulah doa yang aku harap kesampaian ...
Itulah doa yang sempurnakan aku sebagai ibu dan hamba Mu...
Itulah doa yang menutup mataku dengan senyum bahagia ...
Itulah doa yang sangat manis , sangat indah dihati seorang mama ..
Itulah doa ku Ya Rabbi ...

Terimalah ia ..


Sempurnakanlah ia....


AMIN YA RABBAL ALAMIN ....



4 tahun !

Tahun ini merupakan tahun ke 4 bermakna tinggal setahun lagi , tibalah giliran kami untuk mendaftar semula.  Supaya genap 5 tahun , barulah kami boleh mulakan kembali "beratur" menunggu giliran kami supaya dapat menunaikan ibadah Haji bersama-sama anak-anak kami.

Jenuh menanti tetapi semangat untuk menunaikan Haji lagi tidak pernah pudar.

Kadang-kala , hati diusik resah, apakah ianya cuma tinggal impian !

Namun aku percaya, urusan jemputan sebagai tetamu Allah , adalah terletak mutlak ditangan Illahi.  Selain usaha dan doa, belajarlah nikmat "tawakal".

Kalau dikira resah dek berbagai persoalan yang timbul untuk membolehkan kesemua anak-anakku dapat pergi bersama , rasanya kita boleh mengalah ! Tetapi kuasa apa yang selalu membisikkan , meyakinkan , meringankan , memudahkan ....

Semuga kuasa yang terus menarik tanganku untuk teruskan impian ini , akan tercapai dan terlaksana juga hendaknya, InsyaAllah !

Cuma kali ini, hatiku berlagu riang , tidak sampai setahun lagi , kami sudah boleh mendaftar semula.

Syukur , penantian yang lama terasa sangat sekejap ....





Monday, December 10, 2012

Cabaran demi Cabaran

Sejuta jemaah tunggu giliran haji

KUANTAN 10 Dis. - Sejuta penganut Islam di negara ini berada dalam senarai menunggu untuk mengerjakan haji berikutan kuota yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi hanya 28,000 orang bagi setiap kali tibanya musim haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, daripada jumlah tersebut, terdapat kira-kira 14,000 bakal jemaah haji yang berusia 75 tahun ke atas.

"Justeru, saya menasihati mereka yang pernah menunaikan haji agar tidak memohon lagi dan memberi laluan kepada bakal jemaah baru supaya mereka berpeluang menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Kewajipan kita sebagai umat Islam hanya sekali melakukan ibadah haji kerana jika dilakukan lebih daripada itu ia menjadi sunat. Maka, sebaiknya berilah laluan kepada mereka yang lebih layak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Multaqa Guru Takmir, Guru KAFA dan Imam peringkat negeri di sini hari ini.

Hadir merasmikan program tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Othman Mustapha dan Timbalan Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Mohd. Ghazali Abd. Aziz.

Sementara itu, menurut Jamil Khir, ketika ini terdapat 7.9 juta pendeposit Tabung Haji dengan dana terkumpul sebanyak RM34.9 bilion.

"Daripada jumlah itu, kira-kira 81 peratus dana akan disimpan sebagai dividen manakala, sebanyak 19 peratus untuk mengerjakan ibadah haji," jelasnya.


© Utusan Melayu (M) Bhd

Wednesday, June 27, 2012

Terimalah Doa Kami ....




Antara usahaku supaya nanti kami anak beranak dapat menunaikan ibadah Haji bersama-sama nanti ialah melakukan Umrah bersama-sama . Dimana itulah saat kami memohon supaya impian dan harapan kami dipermudahkan , Insya Allah. AMIN.

Ianya bukan hanya kata-kata kosong atau impian sekadar ucapan tetapi usaha yang sangat bersungguh-sungguh. Selain menyimpan wang tabungan , kami "berdoa".

Aku yakin apabila pertama kali memanjatkan doa untuk membawa anak-anakku menunaikan Umrah 15 tahun dahulu dihadapan Kaabah , kini telah dimakbulkan . Alhamdullilah , Umrah terhebat bagi kami anak beranak pada 20 Feb 2012 - 5 March 2012 telah dihadiahkan oleh Yang Esa.

Begitulah juga aku yakin malah tidak akan pernah jemu untuk terus berdoa dan berdoa ... "Kau Permudahkanlah semuga Haji kami akan dapat kami lakukan bersama kesemua anak-anak kami".

Thursday, November 17, 2011

2014 yang masih jauh..


"Tahun berapa kita boleh daftar balik?", tanya suamiku.

Begitulah kami menghitung hari untuk mendaftar semula. Pergi Haji 2009 bermakna 2014 baru boleh mendaftar semula. Terasa begitu lama menanti hanya untuk menunggu giliran untuk mendaftar semula.

Benarlah , Haji itu Pengorbanan !

Untuk Haji kali kedua, kami kena belajar untuk lebih bersabar dan tidak hairan kalau 5 tahun menunggu antara ujian pertama yang kami kena lalui. Bila ianya sukar, disitulah letak kemanisan ibadat. Bila ianya menguji ketabahan , disitulah menguji komitmen kita samada kita benar benar mahu pergi untuk kali ke dua atau tidak.

Semuga Allah masih memberikan kami kesihatan yang terbaik dalam meniti hari hari untuk sebuah Manasik yang seterusnya...


Ya Allah , usahlah Kau beratkan hatiku sehingga aku terpesong dari impianku ini....

Terasa jauh lagi perjalanan , sangat jauh memikul kerinduan untuk berada di ArafahMu , untuk melontar di JamrahMU....

Maka bermusafirlah hatiku pada rindu yang sangat berat....









Pinjaman Bank untuk menunaikan Haji.

Aku tertarik dengan isu menggunakan pinjaman bank untuk menunaikan Haji. Ini berlaku sewaktu kami diminta oleh ibu mertuaku untuk membiayai pemergian beliau menunaikan Haji pada tahun 1992 kerana usianya telah mencapai 48 tahun. Kami tiada pilihan selain terpaksa meminjam melalui bank kerana baru 5 tahun berkahwin , kewangan kami sangat tidak kukuh waktu itu . Apatah lagi mempunyai 2 orang anak selain menyara kehidupan ibuku kerana bapaku sudah melepaskan tanggungjawab untuk menyara kehidupan kami adik beradik.


Serba salah , akhirnya permintaan ibu mertuaku ditunaikan tanpa pernah tahu tentang isu samada boleh atau tidak menggunakan wang haji dengan pinjaman dari bank. Yang kami tahu , satu satunya sumber untuk dapatkan wang ialah dengan pinjaman bank. Tetapi usaha itu terlihat tidak sia-sia kerana itulah yang pertama dan mungkin yang terakhir kerana sejak itu , kami tidak pernah lagi pergi untuk Umrah mahupun menunaikan Haji kami tanpa perlu atau terpaksa meminjam melalui bank. Alhamdullilah semuanya adalah duit cash !

Semuga untuk sebuah manasik bersama kesemua anak-anak kami yang kami anggarkan sekitar RM180 ribu , akan kami dapat kumpulkan dari sekarang . Aku telah berkira-kira untuk menjual beberapa buah rumah kami , sekiranya tiada pilihan lain. Padaku yang lebih penting ialah menggunakan harta yang ada untuk beribadat kepadaMu. Usiapun semakin tersisa , hendak aku manafaatkan sebaik mungkin bukan sahaja untuk diriku dan suami malah untuk anak-anakku juga. Semuga anak-anakku menghargai hadiah yang kami usahakan bertahun tahun dari sekarang ... Ianya bukan mudah !



Boleh buat pinjaman peribadi tunai haji


PUTRAJAYA 4 Ogos – Umat Islam di negara ini boleh membuat pinjaman peribadi bagi menunaikan haji dengan syarat mereka mempunyai kemampuan membayar balik pinjaman tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, kaedah pinjaman masih boleh diterima walaupun syarat menunaikan haji memerlukan seseorang itu berkemampuan dari segi kewangan.

”Syarat mengerjakan haji adalah diukur dari segi kemampuan fizikal dan kewangan. Jika mereka mampu dan yakin dapat membayar balik kerana memikirkan soal kesihatan dan faktor umur sekiranya ditangguh, ia tidak menjadi satu kesalahan untuk membuat pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Intensif Bimbingan Haji anjuran Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji (Jawhar) di sini hari ini.

Seramai 310 bakal haji terdiri daripada penjawat awam dan keluarga masing-masing menghadiri siri pertama kursus dua hari yang bermula hari ini, manakala 320 peserta lagi akan mengikuti siri kedua pada 11 dan 12 Ogos ini.

Bagaimanapun, Mashitah berkata, Tabung Haji tidak memberi kemudahan pinjaman haji secara khusus kerana ia bertentangan dengan konsep menabung yang diamalkan oleh organisasi itu.

”Lagipun Islam menggalakkan supaya menabung bagi tujuan menunaikan haji iaitu dilakukan seawal usia dan apabila wang simpanan mencukupi barulah ia dikira sebagai mampu,” katanya.

Dalam pada itu, Mashitah menasihati bakal-bakal haji agar tidak berbelanja secara boros sewaktu menunaikan haji walaupun Islam membenarkan untuk menjalankan perniagaan dan berbelanja di sana.

”Haji ini merupakan satu perniagaan yang tidak merugikan kerana ia bukan sahaja sebagai satu ibadah tetapi mempunyai nilai-nilai ekonomi.

”Cuma kita tidak mahu ia lari daripada matlamat sebenar apabila pergi ke Mekah, iaitu tidak pergi ke masjid semata-mata ingin membeli-belah. Berbelanja tidak salah tetapi jangan secara berboros,” jelasnya.


Wednesday, October 19, 2011

Haji berbagai cerita..


Seronoknya sejak pulang menunaikan Haji , kita dikelilingi dengan kawan-kawan yang banyak berkait tentang ibadat Haji. Mak Hanizah, Mak Nab, suami Kak Ruby, Hapsah , Kak Ramlah , rakan-rakan suamiku, Raden , Sani begitu jugak Kak Shima dan suami adalah antara kenalan yang akan dan telahpun berangkat sejak beberapa minggu yang lepas. Secara tidak langsung , usia aku juga sudah semakin senja dan rakan taulan semuanya mempunyai tujuan hidup yang sama. Kalau dulu , bila tiba musim haji , kita seperti tidak berminat ambil tahu kerana kita tidak berkait rapat dengan agenda itu apatah lagi hampir tiada kawan yang pergi waktu itu.


Baru kini aku mengerti mengapa sewaktu kecil dulu melihat nenek dan datok begitu gembira untuk menyambut kedatangan Bulan Haji. Sibuk mereka bercerita kisah mereka naik kapal dan sukarnya perjalanan untuk ke Mekah . Berbulan untuk sempurnakan Haji mereka , naik kapal sekian lama , kemudian dari satu kenderaan dari satu tempat ke satu tempat yang lain . Setelah sempurna Haji berbulan juga untuk pulang ke Tanah air . Betapa getirnya untuk menunaikan Haji di zaman dahulu. Jadi tidak hairanlah kalau setiap kali datang Bulan Haji , mereka adalah orang yang paling gembira seperti mereka juga berada di Hari Kemuncaknya Wukuf di Arafah !

Kini setelah melaluinya sendiri yang kalau dibandingkan dengan sukarnya dan getirnya pengalaman orang dulu-dulu, rasanya malu untuk mengeluh untuk melalui kesukaran yang tidak seteruk mana. Bila kesenangan menyelaputi hidup , banyak mengada dan mengeluh sudah menjadi sebahagian dari sikap yang tidak kita sedari. Kini bila melihat ramai kawan kawan yang pergi menunaikan Haji, hati kita turut gembira, macam kita yang nak pergi sama.. Kita pun sibuk mengira bila Hari Wukuf kerana terkenang saat indah di Padang Arafah menanti waktu wukuf...

Minggu lepas sewaktu menziarahi Mak Padilah di JB sempat lagi mendengar kisah rakan-rakannya mengenai Haji. Antara yang membuat aku gementar tentang anak salah seorang dari kawan Mak dimana mereka membawa anak perempuannya yang masih gadis yang hilang sewaktu didalam Masjidil Haram. Puas mereka mencari hanya setelah 2 minggu baru pihak Tabung Haji memberitahu kepada kaum keluarga mereka di Malaysia. Emaknya , apabila menerima beg anaknya yang hilang itu, tidak mahu membukanya kerana katanya , tunggu anak dia balik untuk bukakan begnya sendiri. Tapi tiada siapa yang dapat mencari anaknya itu. Setelah 7 tahun barulah pihak Tabung Haji atau pihak Saudi mengeluarkan surat rasmi menyatakan anaknya sudah tiada /hilang (mati).

Kisah ini secara tidak langsung membuat aku gusar kerana aku akan membawa kedua-dua anak perempuanku menunaikan Haji bersama. Hanya pada Allah aku memohon dipermudahkan , Insya Allah.




Monday, October 17, 2011

Mencari Syurga !


Mungkin pemikiran aku agak berbeza. Kalau kita selalu risaukan bagaimana rumah kita di dunia, selesakah, cukupkah peralatan rumah , selamatkah , mampukah , strategikkah dan berbagai-bagai persoalan berkaitan dengan bagaimana kita hidup sehari hari.

Selalu bila bercakap tentang ibadat, kita selalunya risau tentang diri kita dan suami kita sahaja...berkenaan anak-anak , biarlah dulu. Cukuplah mereka ala kadar kerana mereka secara logiknya akan hidup lebih lama dari kita . Tetapi bagi aku, bukan sahaja perancangan pelajaran dan perkara agama lain yang perlu dititik beratkan .Aku mungkin tidak memberi harta yang banyak tetapi aku mahu saham akhirat juga telah aku sempurnakan buat anak-anak. Bukan untuk diri kita sendiri sahaja yang kita usaha dan risaukan tetapi aku mahu pastikan , bila aku tidak ada nanti di dunia ini, kesemua anak-anakku telah menunaikan Umrah dan Haji didepan mata saya sendiri. Mataku sendiri yang melihat bukti mereka telah lakukan . Kalau mereka akan jadi baik atau sebaliknya , segalanya ditangan Allah. Tetapi usaha dan ikhtiarku sewaktu saya masih hidup, kami boleh jawab di hadapan Allah bahawa kami telah jalankan Amanah sebagai ibu dan bapa dengan melengkapkan Rukun Islam buat kesemua anak-anak kami.

Malunya rasanya di hadapan Mahkamah Allah nanti . kalau kita meninggalkan harta untuk anak-anak kita tetapi bila di check balik mereka tidak dapat menunaikan Haji misalnya, sia-sia rasanya rezeki yang Allah beri pada kami sewaktu hayat kami tidak dipergunakan sebaik mungkin.


Sebab itu, ini antara usaha dan ikhtiar sebagai tanda bersyukur kami atas rezeki yang dianugerahkan Illahi, atas nikmat kehidupan, nikmat kesihatan, nikmat rezeki , nikmat kasih sayang , permudahkanlah Kami membawa anak-anak kami menunaikan Haji. Supaya nanti mata tidur lena dan lega kerana sempurnakan Rukun Islam buat anak-anak mama sewaktu mama dan abah masih diberi hayat di dunia ini...

Mama mahu kita semua berkampung ditempat yang sama atau anak anak mama lebih baik dari mama tetapi ditingkat mana pun kita nanti, biarlah ianya SYURGA!



Kenangan bersama Emak...



Masih aku ingat , sebaik sahaja pulang dari menunaikan Umrah pada tahun 1997, Allah berikan aku sedikit rezeki dimana aku dapat mengumpul wang sebanyak RM9000 dan aku terus mengajak suamiku untuk mendaftar untuk kami bertiga iaitu , aku, suamiku dan emak. Jadi seorang RM3000. Waktu mendaftar di Kuching, Sarawak, giliran kami pergi Haji ialah pada tahun 2007 iaitu 10 tahun menunggu. "Lamanya", kataku pada pihak Tabung Haji. Rasa sedih sangat waktu itu kerana berharap hendak pergi awal tetapi waktu itupun duitpun tidak cukup, baru sahaja mendaftar.

Sejak mendaftar, aku sudah mula merancang untuk mengumpul duit buat kami bertiga. Tapi masa berlalu dan berbagai perkara yang berlaku didalam kehidupan. Emak beria-ia hendak pergi Haji tetapi dek kerana duit belum cukup dan giliran masih jauh, aku berpakat bersama adik beradikku untuk menghantar Emak menunaikan Umrah. Alhamdullilah , sampai juga hajatnya untuk berada di Masjidil Haram. Malangnya pada tahun 2003 , Emak pergi buat selama-lamanya. Terkilan kerana seminggu sebelum meninggal , Emak begitu gembira apabila aku membawa dia Solat di Masjid Putra Jaya, "Emak nak macam ni lah kita berdua kat Masjidil Haram", bisiknya padaku sewaktu aku memimpin tangannya untuk turun di tempat mengambil wudu di Masjid Putra Jaya.

Walaupun segalanya tinggal kenangan , setidak-tidaknya hatiku sangat lega kerana seumur hayatnya Emak pernah juga melakukan Umrah di Baitullah. Insya Allah, Haji anak Emak yang merupakan Haji yang kedua nanti , merupakan Haji Sunat buat diriku , akan aku sendiri yang lakukan Haji Badal buat Emak. Emak tidak dapat lakukan Haji emak sendiri ...biarlah anak Emak sendiri yang buatkan untuk Emak....


Nikmat Kesihatan



Lewat kebelakangan ini aku sering melihat berbagai-bagai kisah tentang kaum keluarga dan sahabat handai yang tidak dapat menjejakkan kaki ke bumi Mekah dek kerana sakit yang kemudiannya menyekat kemampuan mereka malah ada juga yang mengakhiri hayat mereka.

Ianya membuat keinsafan yang tidak terhingga dan Syukur yang Amat kerana Allah berikan petunjuk untuk meringankan hatiku untuk pergi diusia yang masih muda. Umrah pertama kali pada tahun 1997 pada usia 32 tahun telah membuka titik mula untuk aku terus ingin mengunjungi Rumah Allah tanpa jemu-jemu.

Sejak itu doa yang tidak pernah berhenti ialah Berilah rezeki yang Kau berkati supaya aku dapat mengunjungi RumahMu sekerap mungkin. Alhamdullilah, sejak itu rezeki tidak pernah surut malah kami dapat dapat berulang kali pergi walau tidak selalu. Alhamdullilah , Allah anugerahkan kesihatan yang terbaik untuk kami. Memang benar pada usia yang semakin meningkat dan melihat semakin ramai yang tewas untuk ke Baitullah dek kerana halangan kesihatan, membuat hati rasa sangat bersyukur kerana telah sempurnakan disaat kesihatan yang terbaik telah memberikan nikmat ibadat yang tidak terhingga.


Aku bermohon padaMU ya Rabbi... berilah aku , suamiku dan anak-anakku kesihatan yang terbaik untuk kami beribadat kepadaMU...

Sungguh benar ...masa sihat sebelum datangnya sakit.




Bukan sekadar Mendaftar !


Sebuah komen yang menarik hati saya:

Terima kasih kawan2..dulu apa yg saya faham bila kita sudah mendaftar dan mencukupkan duit ke mekah dengan muassasah sambil sentiasa berdoa mendapat giliran yg lebih awal maka sudah terlepaslah kewajiban rukun ke 5 jika kita xsempat sampai giliran. TAPI sekarang saya merasakan kena berusaha bersungguh2 untuk pergi walau pun itu juga bermakna terpaksa bayar lebih...takut rumah/kereta boleh pula kami beli tetapi tak pulak berusaha lebih gigih utk mengerjakan haji...takut belum lepas kewajiban setakat berniat pergi dan tunggu giliran TH...sebab tu kami cuba pergi dgn pakej pula...bukan mengejar keselesaan tetapi lebih mengejar giliran yg lebih awal...semoga Allah permudahkan..insyaAllah..


Memang benar , usaha bukan sekadar mendaftar dan tunggu tanpa berusaha keras untuk memenuhi wang yang hendak dikumpulkan supaya pebuh secepat mungkin. Dek kerana giliran haji sekarang ambil masa berpuluh tahun , kita mungkin akan sambil lewa untuk menyimpan. Logiknya kalau menyimpan pun kita sambil lewa, doa juga ala kadar , tentulah secara logiknya kita tidak terlihat bersungguh-sungguh dimata Tuhan.

Sebab itu walaupun sebenarnya saya sendiri tidak tahu berapa tahun lagi dapat menunaikan hasrat untuk menunaikan haji bersama kesemua anak-anak saya tetapi target untuk pergi pada tahun 2017 entah kan dapat entah tidak tetapi yang saya yakin apabila sampai sahaja 2017 wang saya akan dapat dikumpulkan. Selain itu doa tidak akan berhenti disetiap kali solat untuk 6 tahun lagi supaya Allah makbulkan doa kami ini. Antara perancangan awal untuk memudahkan kami diterima sebagai tetamunya pada 2017 ialah kami akan menunaikan Umrah bersama kesemua anak-anak kerana disana nanti doa akan disampaikan bersungguh-sungguh. Inilah antara usaha kami , bukan sahaja kami yang berdoa tetapi kami mahu anak-anak kami juga komited untuk turut berdoa sewaktu menunaikan Umrah nanti. Insya Allah , AMIN.

Hari ini kita tidak boleh mengharap pakej swasta untuk merealisasikan impian kerana saingan makin hebat kerana semakin ramai berkemampuan untuk pergi. Wang dan ringgit bukan lagi halangan tetapi halangan besar adalah untuk mendapatkan giliran pergi haji. Itulah cabaran yang paling sukar.

Hanya Doa selain usaha ....


Monday, October 3, 2011

Doa Tidak Berhenti....


Musim Haji tiba kembali maka kerinduan menunaikan haji kembali di ingatan. Semakin lama semakin ramai yang hendak pergi menyebabkan laluan semakin sukar. Impian 2017 entahkan dapat entahkan tidak . Tetapi setidak-tidaknya , ianya memberi semangat dan fokus untuk kami mencukupkan duit apabila sampai 2017. Selebihnya hanya Allah yang Maha Mengetahui mana yang terbaik untuk kami. Hendak kumpulkan duit pun bukanlah mudah sebenarnya apatah lagi dengan masalah yang datang dari berbagai arah. Tetapi , aku selalu nekad, sasaran mesti dicapai supaya kita tahu dimana pencapaian kita menurut perancangan.

Tahun ini adik dan sahabat baikku gagal rayuan untuk menunaikan haji walaupun melalui pakej , membuat hatiku agak resah. Sejak 2 tahun lepas aku sudah mula berdoa disetiap kali solat semuga Allah makbulkan doa kami untuk menunaikan Haji bersama anak-anak kami.


Insya Allah Bulan Februari 2012 dimana kami sekeluarga akan menunaikan ibadah Umrah pasti tidak aku lepaskan peluang untuk turut berdoa semuga impian kami dimakbulkan.

Selain ikhtiar dan usaha ...aku mengharapkan kuasa DOA !





Tiada Jalan Pintas !



Salam TH


Mengenai bakal jemaah haji yang marah marah berkenaan rayuan tidak dilayani atau jadual penerbangan yang lambat sebenarnya tidak patut terjadi. Kalau belum pergi ketanah suci sudah marah marah apatah lagi bila berada disana. Pemergian ketanah suci berpangkalkan rezeki dan jemputan dari Yang Maha Esa. Sungguhpun ada yang menyangkal pemergian Imam imam dan Pengerusi JKKK tajaan 1MDB, mungkin di hari ini mereka dikira beruntung, tidak perlu mendaftar dan potong 'queue' tapi kita tidak tahu balasan ILLAHI dikemudian hari. Wallahualam.


Saya tertarik dengan komen diatas tentang permasalahan Haji yang berkaitan dengan isu Rayuan. Secara logik , kalau orang sudah beratur panjang selama bertahun tahun lamanya, tentulah tidak manis kita dengan selambanya memotong que orang lain. Bukankah Falsafah Haji itu sendiri mengandungi maksud yang tersirat tentang "Pengorbanan" yang bukan bermaksud wang ringgit semata tetapi pengorbanan untuk menjadi insan yang bertimbang rasa.


Bayangkanlah betapa susahnya seorang makcik yang susah hidupnya , mengumpul setiap ringgit bertahun tahun lamanya , menahan rindunya hendak menjejaki kaki untuk pertama kalinya ke Mekah untuk sebuah Haji , harus "tertolak" dan mengalah kebelakang untuk memberi ruang kepada kita yang cukup wang dan ringgit dengan menggunakan pakej swasta ditambah usia yang masih muda dengan kehebatan mempunyai kenalan orang ternama. Bukankah itu tidak sopan ? Kerana ujudnya pakej swasta , kita tidak perlu beratur. Bila tergerak hendak pergi Haji pilih saja pakej swasta untuk membolehkan kita memintas hak orang lain. Adilkah kita ?



Haji itu sangat manis , bila kita letakkan pangkat dan harta jauh dibelakang dan belajar untuk turut beratur seperti orang lain . Belajar untuk bersabar dan letihnya menunggu bertahun-tahun. Bukankah falsafah disebalik Padang Masyar itu menanti giliran kita dengan begitu payah malah amat lama . Menanti kita menerima timbangan kita.


Kita akan rasa nikmatnya bertimbang rasa , nikmatnya menghormati hak orang lain yang lebih berhak. Saya masih ingat apabila seorang Ustaz didalam Kursus Haji menerangkan persoalan Dam . Tidak ada ustaz yang check kita salah , terpulanglah pada diri kita untuk menerima kesalahan kita dan membayar dam. Semuanya antara diri kita dan Allah. Kalau kita rasa tersilap dan salah , mengakulah dan bayarlah Dam. Kalau kita tak mahu menerima kesilapan dan menafikan kesilapan dan kealpaan kita, tidak perlulah bayar dam. Semuanya terpulang pada diri kita. Tiada Ego selain sifat menjadi seorang HAMBA kepada DIA.



Jadi kalau soal asas untuk beratur pun , kita sudah pandang ringan , apatah lagi melalui persoalan yang lebih besar untuk memahami maksud Haji itu yang sebenarnya.


Bayangkan , ada 400,000 orang sudah beratur untuk 28,000 tempat sekali setahun !

Kalau kita mempunyai niat untuk melakukan Haji ,

daftarlah,

beraturlah seperti orang lain,

berusahalah kumpul duit

dan berdoalah semuga Allah permudahkan ia.....


Bukankah semua insan mengimpikan HAJI yang MABRUR !




Thursday, September 22, 2011

Rayuan Tabung Haji


Kisah - kisah Rayuan Haji adalah antara isu yang tidak dapat di elakkan apabila terdapat 5.5juta pendeposit Tabung Haji dengan 400,000 pendeposit yang layak untuk menunaikan haji dan dibandingkan jumlah 28,000 sahaja kuota yang dapat diberi setiap tahun. Oleh kerana itu , kami telah memulakan usaha mendaftar selain telah memulakan doa dari sekarang supaya nanti apabila telah cukup simpanan kami nanti, kuasa DOA merupakan satu satunya harapan kami untuk membolehkan kami anak beranak dapat melakukan Haji bersama-sama. Perjuangan telah bermula dari sekarang...

http://ibnrajab.wordpress.com , ikuti kisah tentang Rayuan Haji :

Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang rayuan mengerjakan ibadah haji yang boleh diajukan kepada pihak pengurusan Tabung Haji. Mengikut pengalaman ana sendiri, memang pihak Tabung Haji tidak menyediakan apa-apa borang atau format berkaitan rayuan tersebut. “Kalau adapun rayuan yang berbentuk surat rayuan, yang dihantar oleh pihak pendeposit kepada Tabung Haji, kami memang terima surat itu tetapi tidak menjamin bahawa kami mampu menyediakan tempat bagi mereka mengerjakan haji pada tahun berkenaan” komen salah seorang pegawai Tabung Haji yang menjawab pertanyaan ana.

Mengikut pegawai tersebut, memang pihak pendeposit Tabung Haji ada niat mengerjakan haji, kalau tidak masakan mereka menyimpan atau menabung di Tabung Haji. Sekurang-kurangnya tindakan mereka berurusan dengan pihak Tabung Haji itu telah menunjukkan suatu reaksi positif terhadap apa yang mereka niatkan. Iaitu mengerjakan ibadah haji. Selain itu ia menyenangkan mereka melakukan simpanan sedikit demi sedikit sehingga mampu mengerjakan ibadah rukun Islam yang kelima itu.

Mengikut had kouta sekarang, kalau seseorang itu mendaftar haji pada tahun ini, kemungkinan beliau dapat menerima tawaran atau giliran melakukan haji pada tahun 2020. Atau dengan perkataan lain terpaksa menunggu lebih dari 12 tahun. Oleh itu, tindakan awal pendeposit mendaftar haji adalah wajar. “Kalau dah niat, daftarlah segera..” sambung pagawai tadi.

Cuma, sekiranya pihak pendeposit ditimpa musibah yang menjejaskan tahap kesihatannya, maka pihak Tabung Haji sebenarnya membuka ruang sekiranya mereka ingin membuat rayuan agar dipercepatkan gilirannya menunaikan ibadah haji. Seperti mereka yang telah sembuh dan telah mendapat perakuan Dr. pakar berkenaan kemampuannya menunaikan ibadah haji. Sekiranya mereka tunggu kemungkinan tahap kesihatan mereka menjadi bertambah buruk. Sebagai contoh, pengidap strok yang telah sembuh mereka amat terdedah kepada risiko serangan kali kedua atau berikutnya.

Setelah pihak Tabung Haji menerima surat rayuan daripada pihak pendeposit, mereka biasanya (mengikut pengalaman beberapa jiran dan relatif) akan hantar satu surat menolak rayuan tersebut. Alasan yang diberikan biasanya kerana kuota telah penuh.

Tetapi pada pandangan peribadi ana, pihak Tabung Haji sebenarnya tidaklah menolak 100% rayuan tersebut. Mereka masih memproses rayuan berkenaan berdasarkan no. rujukan surat balasan berkenaan. Sekiranya ada peluang, nama pendeposit yang merayu itu tadi akan mendapat pertimbangan. Betullah kata pegawai tabung haji itu “Pakcik ada hak merayu..”

Kronologi proses rayuan salah seorang pendeposit TH


20.06.2006
- Sepasang suami dan isteri mendaftar untuk menunaikan ibadah haji di Pejabat Tabung Haji. Tarikh giliran menunaikan haji yang tertera pada slip itu adalah pada tahun 2014.

17.02.2008 – Si suami diserang angin ahmar (strok)

02.03.2009 – Si suami diakui 99% telah sihat dan diperakukan (oleh Dr. pakar) boleh melaksanakan ibadah haji. Sehubungan itu, satu surat rayuan telah dihantar ke Pejabat Tabung Haji dengan disertakan surat akuan Dr pakar tadi untuk membolehkan si suami dan ditemani oleh si isteri termasuk dalam senarai peserta jemaah haji tahun 2009. Mengikut pendapat Dr. yang disampaikan secara lisan kepada si isteri, penyakit si suami boleh menyerang lagi dan serangan berikutnya adalah lebih teruk.

13.04.2009 – Surat dari Tabung Haji menolak rayuan mereka suami isteri menunai haji pada tahun ini.

16.08.2009 – Pegawai Tabung Haji datang sendiri ke rumah sepasang suami isteri tersebut membawakan perkhabaran gembira, mereka telah terpilih untuk menunaikah haji tahun ini. Segala persiapan perlulah dilakukan segera kerana jemaah haji pilihan biasa telah melakukan semua itu sejak sebulan yang lalu.

Kesimpulan


Kalau anda telah berniat untuk melaksanakan ibadah haji (anda memang perlu bahkan wajib meniatkannya), maka segeralah menabung dan mendaftar haji di Pejabat Tabung Haji serta lakukanlah potongan bulanan ke atas tabungan tersebut. Kalaupun jangkamasa yang perlu anda tunggu itu terlalu lama, tetapi sekiranya anda berdepan dengan keadaan-keadaan rumit yang mewajarkan anda dipertimbangkan, agar giliran anda itu dipercepatkan, maka buatlah rayuan. Kalaupun ia ditolak, jangan berputus asa. Berdoa dan bertawakkallah! InsyaAllah, Dia Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani..

Wallahu aklam.

p/s: Untuk membuat rayuan menunaikan haji, pendeposit tidak perlu memastikan jumlah keseluruhan kos mengerjakan haji telah mencukupi dalam akaun mereka terlebih dahulu. Asalkan mereka mempunyai sebab yang munasabah spt tahap kesihatan, terus sahaja buat rayuan. Sekiranya terpilih, barulah berusaha memenuhi jumlah yang sepatutnya ada bagi menampung kos saraan haji pada tahun tersebut. InsyaAllah, bantuan Allah itu amat luas kepada hamba-hambaNya yang bertaqwa dan berserah diri kepadaNya..

Monday, September 12, 2011

Arab Saudi setuju tambah 2,000 kuota jemaah

PUTRAJAYA: Lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang menunaikan ibadat haji tahun ini apabila kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk menambah kuota jemaah haji negara ini kepada 28,000 berbanding 26,000 tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata tambahan jemaah sebanyak 2,000 itu adalah sesuatu yang memadai kerana lebih ramai rakyat negara ini berpeluang mengerjakan haji pada tahun ini yang dijangka bermula bulan depan.Beliau berkata, Kerajaan Arab Saudi memberikan persetujuan itu dalam rundingan dengan kerajaan Malaysia yang diwakili Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dengan Menteri Haji dan Wakaf Arab Saudi, baru-baru ini.“Pada masa sama, kita juga bercadang memohon kuota tambahan bagi membolehkan seramai mungkin rakyat Malaysia menunaikan haji, manakala dari segi kos Tabung Haji masih mengekalkannya iaitu sebanyak RM9,980 seorang.

“Ini menggambarkan kerajaan sentiasa menjaga kebajikan dan memberi kemudahan kepada rakyat untuk menunaikan ibadah haji dengan sempurna dan selesa, manakala kos lain ditanggung sepenuhnya oleh Tabung Haji,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pecah tanah untuk projek pembinaan Kompleks Pentadbiran Bersepadu bernilai hampir RM400 juta berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3, di sini, semalam.

Kompleks berkenaan akan dimajukan anak syarikat Tabung Haji, Tabung Haji Properties yang dijangka siap pada 2014 bagi menempatkan lebih lapan jabatan dan agensi agama Islam di bawah satu bumbung termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Turut hadir, Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor; Pengarah Urusan Tabung Haji, Datuk Paduka Ismee Ismail dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, sehingga kini terdapat lebih 5.5 juta pendeposit Tabung Haji termasuk hampir 400,000 daripadanya mempunyai simpanan mencukupi dan layak memohon untuk menunaikan ibadah haji, pada musim ini.

Bagaimanapun, Jamil Khir berkata Tabung Haji akan memberi keutamaan kepada mereka yang sudah berusia dan kali pertama menunaikan haji.

“Berdasarkan apa dipersetujui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Menteri Haji Arab Saudi, kuota bagi setiap negara Islam menghantar jemaah ialah 0.1 peratus daripada jumlah rakyatnya yang beragama Islam sesebuah negara.

“Di Malaysia ini unik sikit kerana kerajaan Arab Saudi memberikan kuota mengikut 0.1 peratus berdasarkan jumlah keseluruhan lebih 28 juta rakyatnya termasuk mereka yang bukan beragama Islam menyebabkan lebih ramai umat Islam berpeluang menunaikan rukun Islam kelima,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Malaysia mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Arab Saudi supaya kuota jemaah haji negara bagi musim ini ditambah kerana bilangan penduduknya sudah meningkat kepada lebih 28 juta orang berbanding 26 juta sebelum ini.

Tuesday, September 6, 2011

Definasi Perjalanan Haji yang penuh dengan cubaan.


Pendaftaran Haji


Bagi menandakan kesungguhan kita sebagai orang Islam yang beriman untuk menyahut Seruan Haji, maka hendaklah mengambil langkah-langkah berikut:

- Membuka Akaun Tabung Haji bagi mereka yang belum ada Akaun TH

- Berikhtiar mencukupkan wang dalam Akaun TH dengan jumlah minima RM1,300.00 untuk membolehkan untuk mendaftar haji. (Simpanan sebanyak RM1,300 tidak akan dikeluarkan dari Akaun tapi hanya dibekukan, tidak boleh dibuat pengeluaran jumlah tersebut. Jika dalam Akaun melebihi jumlah tersebut maka boleh dibuat pengeluaran wang yang lebih) Jika terpaksa menggunakan wang tersebut pembatalan haji boleh dibuat dan pengeluaran boleh dibuat pada masa tersebut juga.

- Pergi ke mana-mana Kaunter TH, Kaunter Bank Islam (M) Berhad atau Kaunter Bank Rakyat untuk mendaftar haji. Pendaftaran untuk kanak-kanak juga boleh dibuat.

- Mereka yang telah menunaikan haji perlu menunggu 5 tahun daripada tahun hajinya untuk mendaftar sekali lagi.

- Mendapatkan buku rujukan untuk persiapan ilmu dalam peribadatan Haji.

- Membuat perancangan menyimpan dalam Akaun TH secara potongan gaji.

Sehingga hari ini mereka yang membuat Pendaftaran Haji terpaksa menunggu giliran yang lama. Itu bukan menyebabkan kita merasa kecewa dan putus asa tapi masih ada usaha yang boleh kita lakukan.

Hendak di kira ini merupakan Tahun ke 2 kami menunggu giliran untuk membolehkan kami mendaftar semula , iaitu 5 tahun selepas menunaikan Haji yang Pertama. Bermakna 5 tahun penantian hanya untuk mendaftar semula. Seperti Haji kami yang pertama , pendaftaran Haji dibuat pada tahun 1997 dan nama kami terpilih tanpa kami sedari pada tahun 2003. Alhamdullilah bila kami bersedia untuk pergi Haji pada tahun 2009, nama kami terpilih menjadi calon terpilih. Prinsip itu jugalah yang dipegang, beratur semula kerana "aku tidak mahu potong que". Masih aku ingat sewaktu mengikuti kursus haji , seorang makcik telah mengikuti kursus haji sejak 3 tahun terdahulu tetapi namanya tidak juga naik , malah nama kami pulak yang naik. Terlihat hampanya hati mereka yang bersungguh sungguh beratur mengikut giliran mereka. Jadi biarlah kami melalui kesukaran yang sama iaitu proses penantian , walaupun ke empat nama-nama anak kami sudah didaftarkan dan masih menunggu ibu bapa mereka yang masih tertinggal untuk mendaftar. Padaku disinilah manis "perjalanan haji" iatu kesukaran kesukaran yang sebenarnya akan mencantikkan ibadah dan diri.

Giliran Menunaikan Haji

Bagi mereka yang telah mendaftar haji dengan Tabung Haji akan ditawarkan untuk menunaikan haji mengikut siapa daftar dahulu di dahulukan. Setiap tahun TH akan menawarkan seramai 26,000 orang untuk menunaikan haji. Semasa tawaran dikeluarkan kepada bakal haji terdapat mereka yang tidak menjawab dan ada yang menolak tawaran atas beberapa sebab.Apabila sampai tarikh akhir untuk menjawab tawaran yang ditetapkan oleh TH, makaTH akan menawarkan kepada mereka yang telah mendaftar haji dan gilirannya yang ke 26,000 ke atas dikira yang mana lebih awal.


Setiap tahun mereka yang lambat lagi giliran mereka, akan membuat rayuan. Pelbagai sebab dinyatakan seperti telah lanjut usia, mengidapi penyakit tapi disahkan oleh Pegawai Perubatan Stabil kedudukannya tahun berkenaan, telah mencukupi Wang Perbelanjaan Haji, telah mengikuti Kursus Haji berkali-kali, mengikuti Mahram yang terpilih dan pelbagai lagi alasan. Bagi mereka yang merayu
tidak boleh beranggapan bahawa rayuan mereka akan lulus 100%. Mereka kena faham jumlah bakal haji adalah terhad dan mereka yang masih menunggu ramai dan yang merayu juga ramai. Tindakan merayu adalah usaha yang dilakukan bagi menunjukan kesungguhan kita untuk menyahut seruan Haji. Selepas itu kita serahkan kepada Allah s.w.t menentukan.


Pada tahun 1431H ramai luahan tidak puas hati kerana rayuan mereka atau keluarga mereka tidak Berjaya. Timbullah soalan kenapa mereka yang baru daftar daripada mereka dapat pergi menunai haji dengan mengiktu Pakej
TH atau Swasta. Adakah adil mereka yang mempunyai wang yang banyak boleh pergi Mekah? Ada yang menyatakan mereka ini telah merampas tempat orang lain yang sepatut dipilih. Kita semua telah faham bahawa Haji adalah Ibadah kepada Allah s.w.t. Apabila kita melakukan Ibadah kita mengharapkan Pahala dan Keredoan Allah s.w.t. Kita akan mendoakan mereka yang melakukan Ibadat mendapat kebaikan dan seterusnya kebaikan akan melempah kepada kita. Kesimpulannya siapa sahaja yang Terpilih menunaikan Haji, kebaikannya akan diperolehi oleh mereka dan kita.

Dicatat oleh Haji Mazlan