September 2010

Kisah impianku membawa kesemua anak-anakku untuk menunaikan Haji bersama-sama. Sebuah perancangan , cabaran dan kesukaran yang pasti bukan kepalang payahnya . Inilah kisah sebuah perjalanan menuju Allah sambil anak-anak kami pimpin bersama . Tuhanku...mudahkanlah ia !

Ianya bermula sebaik sahaja aku pulang menunaikan Haji pada Tahun 2009. Sebuah keluarga membawa kesemua anak-anak mereka yang berusia belasan tahun untuk turut menunaikan Haji telah mencetuskan impian dan nekadku untuk turut mengikuti jejak mereka.




Pada Tahun 2017 , usia kami, Insya Allah :

Abah - 55 tahun ; Mama - 52 tahun ; Shafiq - 29 tahun ; Faisal - 26 tahun ; Alia - 19 tahun ; Aneesa - 17 tahun

Tuhanku berilah kami usia yang diberkati....

Wednesday, October 19, 2011

Haji berbagai cerita..


Seronoknya sejak pulang menunaikan Haji , kita dikelilingi dengan kawan-kawan yang banyak berkait tentang ibadat Haji. Mak Hanizah, Mak Nab, suami Kak Ruby, Hapsah , Kak Ramlah , rakan-rakan suamiku, Raden , Sani begitu jugak Kak Shima dan suami adalah antara kenalan yang akan dan telahpun berangkat sejak beberapa minggu yang lepas. Secara tidak langsung , usia aku juga sudah semakin senja dan rakan taulan semuanya mempunyai tujuan hidup yang sama. Kalau dulu , bila tiba musim haji , kita seperti tidak berminat ambil tahu kerana kita tidak berkait rapat dengan agenda itu apatah lagi hampir tiada kawan yang pergi waktu itu.


Baru kini aku mengerti mengapa sewaktu kecil dulu melihat nenek dan datok begitu gembira untuk menyambut kedatangan Bulan Haji. Sibuk mereka bercerita kisah mereka naik kapal dan sukarnya perjalanan untuk ke Mekah . Berbulan untuk sempurnakan Haji mereka , naik kapal sekian lama , kemudian dari satu kenderaan dari satu tempat ke satu tempat yang lain . Setelah sempurna Haji berbulan juga untuk pulang ke Tanah air . Betapa getirnya untuk menunaikan Haji di zaman dahulu. Jadi tidak hairanlah kalau setiap kali datang Bulan Haji , mereka adalah orang yang paling gembira seperti mereka juga berada di Hari Kemuncaknya Wukuf di Arafah !

Kini setelah melaluinya sendiri yang kalau dibandingkan dengan sukarnya dan getirnya pengalaman orang dulu-dulu, rasanya malu untuk mengeluh untuk melalui kesukaran yang tidak seteruk mana. Bila kesenangan menyelaputi hidup , banyak mengada dan mengeluh sudah menjadi sebahagian dari sikap yang tidak kita sedari. Kini bila melihat ramai kawan kawan yang pergi menunaikan Haji, hati kita turut gembira, macam kita yang nak pergi sama.. Kita pun sibuk mengira bila Hari Wukuf kerana terkenang saat indah di Padang Arafah menanti waktu wukuf...

Minggu lepas sewaktu menziarahi Mak Padilah di JB sempat lagi mendengar kisah rakan-rakannya mengenai Haji. Antara yang membuat aku gementar tentang anak salah seorang dari kawan Mak dimana mereka membawa anak perempuannya yang masih gadis yang hilang sewaktu didalam Masjidil Haram. Puas mereka mencari hanya setelah 2 minggu baru pihak Tabung Haji memberitahu kepada kaum keluarga mereka di Malaysia. Emaknya , apabila menerima beg anaknya yang hilang itu, tidak mahu membukanya kerana katanya , tunggu anak dia balik untuk bukakan begnya sendiri. Tapi tiada siapa yang dapat mencari anaknya itu. Setelah 7 tahun barulah pihak Tabung Haji atau pihak Saudi mengeluarkan surat rasmi menyatakan anaknya sudah tiada /hilang (mati).

Kisah ini secara tidak langsung membuat aku gusar kerana aku akan membawa kedua-dua anak perempuanku menunaikan Haji bersama. Hanya pada Allah aku memohon dipermudahkan , Insya Allah.




Monday, October 17, 2011

Mencari Syurga !


Mungkin pemikiran aku agak berbeza. Kalau kita selalu risaukan bagaimana rumah kita di dunia, selesakah, cukupkah peralatan rumah , selamatkah , mampukah , strategikkah dan berbagai-bagai persoalan berkaitan dengan bagaimana kita hidup sehari hari.

Selalu bila bercakap tentang ibadat, kita selalunya risau tentang diri kita dan suami kita sahaja...berkenaan anak-anak , biarlah dulu. Cukuplah mereka ala kadar kerana mereka secara logiknya akan hidup lebih lama dari kita . Tetapi bagi aku, bukan sahaja perancangan pelajaran dan perkara agama lain yang perlu dititik beratkan .Aku mungkin tidak memberi harta yang banyak tetapi aku mahu saham akhirat juga telah aku sempurnakan buat anak-anak. Bukan untuk diri kita sendiri sahaja yang kita usaha dan risaukan tetapi aku mahu pastikan , bila aku tidak ada nanti di dunia ini, kesemua anak-anakku telah menunaikan Umrah dan Haji didepan mata saya sendiri. Mataku sendiri yang melihat bukti mereka telah lakukan . Kalau mereka akan jadi baik atau sebaliknya , segalanya ditangan Allah. Tetapi usaha dan ikhtiarku sewaktu saya masih hidup, kami boleh jawab di hadapan Allah bahawa kami telah jalankan Amanah sebagai ibu dan bapa dengan melengkapkan Rukun Islam buat kesemua anak-anak kami.

Malunya rasanya di hadapan Mahkamah Allah nanti . kalau kita meninggalkan harta untuk anak-anak kita tetapi bila di check balik mereka tidak dapat menunaikan Haji misalnya, sia-sia rasanya rezeki yang Allah beri pada kami sewaktu hayat kami tidak dipergunakan sebaik mungkin.


Sebab itu, ini antara usaha dan ikhtiar sebagai tanda bersyukur kami atas rezeki yang dianugerahkan Illahi, atas nikmat kehidupan, nikmat kesihatan, nikmat rezeki , nikmat kasih sayang , permudahkanlah Kami membawa anak-anak kami menunaikan Haji. Supaya nanti mata tidur lena dan lega kerana sempurnakan Rukun Islam buat anak-anak mama sewaktu mama dan abah masih diberi hayat di dunia ini...

Mama mahu kita semua berkampung ditempat yang sama atau anak anak mama lebih baik dari mama tetapi ditingkat mana pun kita nanti, biarlah ianya SYURGA!



Kenangan bersama Emak...



Masih aku ingat , sebaik sahaja pulang dari menunaikan Umrah pada tahun 1997, Allah berikan aku sedikit rezeki dimana aku dapat mengumpul wang sebanyak RM9000 dan aku terus mengajak suamiku untuk mendaftar untuk kami bertiga iaitu , aku, suamiku dan emak. Jadi seorang RM3000. Waktu mendaftar di Kuching, Sarawak, giliran kami pergi Haji ialah pada tahun 2007 iaitu 10 tahun menunggu. "Lamanya", kataku pada pihak Tabung Haji. Rasa sedih sangat waktu itu kerana berharap hendak pergi awal tetapi waktu itupun duitpun tidak cukup, baru sahaja mendaftar.

Sejak mendaftar, aku sudah mula merancang untuk mengumpul duit buat kami bertiga. Tapi masa berlalu dan berbagai perkara yang berlaku didalam kehidupan. Emak beria-ia hendak pergi Haji tetapi dek kerana duit belum cukup dan giliran masih jauh, aku berpakat bersama adik beradikku untuk menghantar Emak menunaikan Umrah. Alhamdullilah , sampai juga hajatnya untuk berada di Masjidil Haram. Malangnya pada tahun 2003 , Emak pergi buat selama-lamanya. Terkilan kerana seminggu sebelum meninggal , Emak begitu gembira apabila aku membawa dia Solat di Masjid Putra Jaya, "Emak nak macam ni lah kita berdua kat Masjidil Haram", bisiknya padaku sewaktu aku memimpin tangannya untuk turun di tempat mengambil wudu di Masjid Putra Jaya.

Walaupun segalanya tinggal kenangan , setidak-tidaknya hatiku sangat lega kerana seumur hayatnya Emak pernah juga melakukan Umrah di Baitullah. Insya Allah, Haji anak Emak yang merupakan Haji yang kedua nanti , merupakan Haji Sunat buat diriku , akan aku sendiri yang lakukan Haji Badal buat Emak. Emak tidak dapat lakukan Haji emak sendiri ...biarlah anak Emak sendiri yang buatkan untuk Emak....


Nikmat Kesihatan



Lewat kebelakangan ini aku sering melihat berbagai-bagai kisah tentang kaum keluarga dan sahabat handai yang tidak dapat menjejakkan kaki ke bumi Mekah dek kerana sakit yang kemudiannya menyekat kemampuan mereka malah ada juga yang mengakhiri hayat mereka.

Ianya membuat keinsafan yang tidak terhingga dan Syukur yang Amat kerana Allah berikan petunjuk untuk meringankan hatiku untuk pergi diusia yang masih muda. Umrah pertama kali pada tahun 1997 pada usia 32 tahun telah membuka titik mula untuk aku terus ingin mengunjungi Rumah Allah tanpa jemu-jemu.

Sejak itu doa yang tidak pernah berhenti ialah Berilah rezeki yang Kau berkati supaya aku dapat mengunjungi RumahMu sekerap mungkin. Alhamdullilah, sejak itu rezeki tidak pernah surut malah kami dapat dapat berulang kali pergi walau tidak selalu. Alhamdullilah , Allah anugerahkan kesihatan yang terbaik untuk kami. Memang benar pada usia yang semakin meningkat dan melihat semakin ramai yang tewas untuk ke Baitullah dek kerana halangan kesihatan, membuat hati rasa sangat bersyukur kerana telah sempurnakan disaat kesihatan yang terbaik telah memberikan nikmat ibadat yang tidak terhingga.


Aku bermohon padaMU ya Rabbi... berilah aku , suamiku dan anak-anakku kesihatan yang terbaik untuk kami beribadat kepadaMU...

Sungguh benar ...masa sihat sebelum datangnya sakit.




Bukan sekadar Mendaftar !


Sebuah komen yang menarik hati saya:

Terima kasih kawan2..dulu apa yg saya faham bila kita sudah mendaftar dan mencukupkan duit ke mekah dengan muassasah sambil sentiasa berdoa mendapat giliran yg lebih awal maka sudah terlepaslah kewajiban rukun ke 5 jika kita xsempat sampai giliran. TAPI sekarang saya merasakan kena berusaha bersungguh2 untuk pergi walau pun itu juga bermakna terpaksa bayar lebih...takut rumah/kereta boleh pula kami beli tetapi tak pulak berusaha lebih gigih utk mengerjakan haji...takut belum lepas kewajiban setakat berniat pergi dan tunggu giliran TH...sebab tu kami cuba pergi dgn pakej pula...bukan mengejar keselesaan tetapi lebih mengejar giliran yg lebih awal...semoga Allah permudahkan..insyaAllah..


Memang benar , usaha bukan sekadar mendaftar dan tunggu tanpa berusaha keras untuk memenuhi wang yang hendak dikumpulkan supaya pebuh secepat mungkin. Dek kerana giliran haji sekarang ambil masa berpuluh tahun , kita mungkin akan sambil lewa untuk menyimpan. Logiknya kalau menyimpan pun kita sambil lewa, doa juga ala kadar , tentulah secara logiknya kita tidak terlihat bersungguh-sungguh dimata Tuhan.

Sebab itu walaupun sebenarnya saya sendiri tidak tahu berapa tahun lagi dapat menunaikan hasrat untuk menunaikan haji bersama kesemua anak-anak saya tetapi target untuk pergi pada tahun 2017 entah kan dapat entah tidak tetapi yang saya yakin apabila sampai sahaja 2017 wang saya akan dapat dikumpulkan. Selain itu doa tidak akan berhenti disetiap kali solat untuk 6 tahun lagi supaya Allah makbulkan doa kami ini. Antara perancangan awal untuk memudahkan kami diterima sebagai tetamunya pada 2017 ialah kami akan menunaikan Umrah bersama kesemua anak-anak kerana disana nanti doa akan disampaikan bersungguh-sungguh. Inilah antara usaha kami , bukan sahaja kami yang berdoa tetapi kami mahu anak-anak kami juga komited untuk turut berdoa sewaktu menunaikan Umrah nanti. Insya Allah , AMIN.

Hari ini kita tidak boleh mengharap pakej swasta untuk merealisasikan impian kerana saingan makin hebat kerana semakin ramai berkemampuan untuk pergi. Wang dan ringgit bukan lagi halangan tetapi halangan besar adalah untuk mendapatkan giliran pergi haji. Itulah cabaran yang paling sukar.

Hanya Doa selain usaha ....


Monday, October 3, 2011

Doa Tidak Berhenti....


Musim Haji tiba kembali maka kerinduan menunaikan haji kembali di ingatan. Semakin lama semakin ramai yang hendak pergi menyebabkan laluan semakin sukar. Impian 2017 entahkan dapat entahkan tidak . Tetapi setidak-tidaknya , ianya memberi semangat dan fokus untuk kami mencukupkan duit apabila sampai 2017. Selebihnya hanya Allah yang Maha Mengetahui mana yang terbaik untuk kami. Hendak kumpulkan duit pun bukanlah mudah sebenarnya apatah lagi dengan masalah yang datang dari berbagai arah. Tetapi , aku selalu nekad, sasaran mesti dicapai supaya kita tahu dimana pencapaian kita menurut perancangan.

Tahun ini adik dan sahabat baikku gagal rayuan untuk menunaikan haji walaupun melalui pakej , membuat hatiku agak resah. Sejak 2 tahun lepas aku sudah mula berdoa disetiap kali solat semuga Allah makbulkan doa kami untuk menunaikan Haji bersama anak-anak kami.


Insya Allah Bulan Februari 2012 dimana kami sekeluarga akan menunaikan ibadah Umrah pasti tidak aku lepaskan peluang untuk turut berdoa semuga impian kami dimakbulkan.

Selain ikhtiar dan usaha ...aku mengharapkan kuasa DOA !





Tiada Jalan Pintas !



Salam TH


Mengenai bakal jemaah haji yang marah marah berkenaan rayuan tidak dilayani atau jadual penerbangan yang lambat sebenarnya tidak patut terjadi. Kalau belum pergi ketanah suci sudah marah marah apatah lagi bila berada disana. Pemergian ketanah suci berpangkalkan rezeki dan jemputan dari Yang Maha Esa. Sungguhpun ada yang menyangkal pemergian Imam imam dan Pengerusi JKKK tajaan 1MDB, mungkin di hari ini mereka dikira beruntung, tidak perlu mendaftar dan potong 'queue' tapi kita tidak tahu balasan ILLAHI dikemudian hari. Wallahualam.


Saya tertarik dengan komen diatas tentang permasalahan Haji yang berkaitan dengan isu Rayuan. Secara logik , kalau orang sudah beratur panjang selama bertahun tahun lamanya, tentulah tidak manis kita dengan selambanya memotong que orang lain. Bukankah Falsafah Haji itu sendiri mengandungi maksud yang tersirat tentang "Pengorbanan" yang bukan bermaksud wang ringgit semata tetapi pengorbanan untuk menjadi insan yang bertimbang rasa.


Bayangkanlah betapa susahnya seorang makcik yang susah hidupnya , mengumpul setiap ringgit bertahun tahun lamanya , menahan rindunya hendak menjejaki kaki untuk pertama kalinya ke Mekah untuk sebuah Haji , harus "tertolak" dan mengalah kebelakang untuk memberi ruang kepada kita yang cukup wang dan ringgit dengan menggunakan pakej swasta ditambah usia yang masih muda dengan kehebatan mempunyai kenalan orang ternama. Bukankah itu tidak sopan ? Kerana ujudnya pakej swasta , kita tidak perlu beratur. Bila tergerak hendak pergi Haji pilih saja pakej swasta untuk membolehkan kita memintas hak orang lain. Adilkah kita ?



Haji itu sangat manis , bila kita letakkan pangkat dan harta jauh dibelakang dan belajar untuk turut beratur seperti orang lain . Belajar untuk bersabar dan letihnya menunggu bertahun-tahun. Bukankah falsafah disebalik Padang Masyar itu menanti giliran kita dengan begitu payah malah amat lama . Menanti kita menerima timbangan kita.


Kita akan rasa nikmatnya bertimbang rasa , nikmatnya menghormati hak orang lain yang lebih berhak. Saya masih ingat apabila seorang Ustaz didalam Kursus Haji menerangkan persoalan Dam . Tidak ada ustaz yang check kita salah , terpulanglah pada diri kita untuk menerima kesalahan kita dan membayar dam. Semuanya antara diri kita dan Allah. Kalau kita rasa tersilap dan salah , mengakulah dan bayarlah Dam. Kalau kita tak mahu menerima kesilapan dan menafikan kesilapan dan kealpaan kita, tidak perlulah bayar dam. Semuanya terpulang pada diri kita. Tiada Ego selain sifat menjadi seorang HAMBA kepada DIA.



Jadi kalau soal asas untuk beratur pun , kita sudah pandang ringan , apatah lagi melalui persoalan yang lebih besar untuk memahami maksud Haji itu yang sebenarnya.


Bayangkan , ada 400,000 orang sudah beratur untuk 28,000 tempat sekali setahun !

Kalau kita mempunyai niat untuk melakukan Haji ,

daftarlah,

beraturlah seperti orang lain,

berusahalah kumpul duit

dan berdoalah semuga Allah permudahkan ia.....


Bukankah semua insan mengimpikan HAJI yang MABRUR !