September 2010

Kisah impianku membawa kesemua anak-anakku untuk menunaikan Haji bersama-sama. Sebuah perancangan , cabaran dan kesukaran yang pasti bukan kepalang payahnya . Inilah kisah sebuah perjalanan menuju Allah sambil anak-anak kami pimpin bersama . Tuhanku...mudahkanlah ia !

Ianya bermula sebaik sahaja aku pulang menunaikan Haji pada Tahun 2009. Sebuah keluarga membawa kesemua anak-anak mereka yang berusia belasan tahun untuk turut menunaikan Haji telah mencetuskan impian dan nekadku untuk turut mengikuti jejak mereka.




Pada Tahun 2017 , usia kami, Insya Allah :

Abah - 55 tahun ; Mama - 52 tahun ; Shafiq - 29 tahun ; Faisal - 26 tahun ; Alia - 19 tahun ; Aneesa - 17 tahun

Tuhanku berilah kami usia yang diberkati....

Thursday, September 22, 2011

Rayuan Tabung Haji


Kisah - kisah Rayuan Haji adalah antara isu yang tidak dapat di elakkan apabila terdapat 5.5juta pendeposit Tabung Haji dengan 400,000 pendeposit yang layak untuk menunaikan haji dan dibandingkan jumlah 28,000 sahaja kuota yang dapat diberi setiap tahun. Oleh kerana itu , kami telah memulakan usaha mendaftar selain telah memulakan doa dari sekarang supaya nanti apabila telah cukup simpanan kami nanti, kuasa DOA merupakan satu satunya harapan kami untuk membolehkan kami anak beranak dapat melakukan Haji bersama-sama. Perjuangan telah bermula dari sekarang...

http://ibnrajab.wordpress.com , ikuti kisah tentang Rayuan Haji :

Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang rayuan mengerjakan ibadah haji yang boleh diajukan kepada pihak pengurusan Tabung Haji. Mengikut pengalaman ana sendiri, memang pihak Tabung Haji tidak menyediakan apa-apa borang atau format berkaitan rayuan tersebut. “Kalau adapun rayuan yang berbentuk surat rayuan, yang dihantar oleh pihak pendeposit kepada Tabung Haji, kami memang terima surat itu tetapi tidak menjamin bahawa kami mampu menyediakan tempat bagi mereka mengerjakan haji pada tahun berkenaan” komen salah seorang pegawai Tabung Haji yang menjawab pertanyaan ana.

Mengikut pegawai tersebut, memang pihak pendeposit Tabung Haji ada niat mengerjakan haji, kalau tidak masakan mereka menyimpan atau menabung di Tabung Haji. Sekurang-kurangnya tindakan mereka berurusan dengan pihak Tabung Haji itu telah menunjukkan suatu reaksi positif terhadap apa yang mereka niatkan. Iaitu mengerjakan ibadah haji. Selain itu ia menyenangkan mereka melakukan simpanan sedikit demi sedikit sehingga mampu mengerjakan ibadah rukun Islam yang kelima itu.

Mengikut had kouta sekarang, kalau seseorang itu mendaftar haji pada tahun ini, kemungkinan beliau dapat menerima tawaran atau giliran melakukan haji pada tahun 2020. Atau dengan perkataan lain terpaksa menunggu lebih dari 12 tahun. Oleh itu, tindakan awal pendeposit mendaftar haji adalah wajar. “Kalau dah niat, daftarlah segera..” sambung pagawai tadi.

Cuma, sekiranya pihak pendeposit ditimpa musibah yang menjejaskan tahap kesihatannya, maka pihak Tabung Haji sebenarnya membuka ruang sekiranya mereka ingin membuat rayuan agar dipercepatkan gilirannya menunaikan ibadah haji. Seperti mereka yang telah sembuh dan telah mendapat perakuan Dr. pakar berkenaan kemampuannya menunaikan ibadah haji. Sekiranya mereka tunggu kemungkinan tahap kesihatan mereka menjadi bertambah buruk. Sebagai contoh, pengidap strok yang telah sembuh mereka amat terdedah kepada risiko serangan kali kedua atau berikutnya.

Setelah pihak Tabung Haji menerima surat rayuan daripada pihak pendeposit, mereka biasanya (mengikut pengalaman beberapa jiran dan relatif) akan hantar satu surat menolak rayuan tersebut. Alasan yang diberikan biasanya kerana kuota telah penuh.

Tetapi pada pandangan peribadi ana, pihak Tabung Haji sebenarnya tidaklah menolak 100% rayuan tersebut. Mereka masih memproses rayuan berkenaan berdasarkan no. rujukan surat balasan berkenaan. Sekiranya ada peluang, nama pendeposit yang merayu itu tadi akan mendapat pertimbangan. Betullah kata pegawai tabung haji itu “Pakcik ada hak merayu..”

Kronologi proses rayuan salah seorang pendeposit TH


20.06.2006
- Sepasang suami dan isteri mendaftar untuk menunaikan ibadah haji di Pejabat Tabung Haji. Tarikh giliran menunaikan haji yang tertera pada slip itu adalah pada tahun 2014.

17.02.2008 – Si suami diserang angin ahmar (strok)

02.03.2009 – Si suami diakui 99% telah sihat dan diperakukan (oleh Dr. pakar) boleh melaksanakan ibadah haji. Sehubungan itu, satu surat rayuan telah dihantar ke Pejabat Tabung Haji dengan disertakan surat akuan Dr pakar tadi untuk membolehkan si suami dan ditemani oleh si isteri termasuk dalam senarai peserta jemaah haji tahun 2009. Mengikut pendapat Dr. yang disampaikan secara lisan kepada si isteri, penyakit si suami boleh menyerang lagi dan serangan berikutnya adalah lebih teruk.

13.04.2009 – Surat dari Tabung Haji menolak rayuan mereka suami isteri menunai haji pada tahun ini.

16.08.2009 – Pegawai Tabung Haji datang sendiri ke rumah sepasang suami isteri tersebut membawakan perkhabaran gembira, mereka telah terpilih untuk menunaikah haji tahun ini. Segala persiapan perlulah dilakukan segera kerana jemaah haji pilihan biasa telah melakukan semua itu sejak sebulan yang lalu.

Kesimpulan


Kalau anda telah berniat untuk melaksanakan ibadah haji (anda memang perlu bahkan wajib meniatkannya), maka segeralah menabung dan mendaftar haji di Pejabat Tabung Haji serta lakukanlah potongan bulanan ke atas tabungan tersebut. Kalaupun jangkamasa yang perlu anda tunggu itu terlalu lama, tetapi sekiranya anda berdepan dengan keadaan-keadaan rumit yang mewajarkan anda dipertimbangkan, agar giliran anda itu dipercepatkan, maka buatlah rayuan. Kalaupun ia ditolak, jangan berputus asa. Berdoa dan bertawakkallah! InsyaAllah, Dia Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani..

Wallahu aklam.

p/s: Untuk membuat rayuan menunaikan haji, pendeposit tidak perlu memastikan jumlah keseluruhan kos mengerjakan haji telah mencukupi dalam akaun mereka terlebih dahulu. Asalkan mereka mempunyai sebab yang munasabah spt tahap kesihatan, terus sahaja buat rayuan. Sekiranya terpilih, barulah berusaha memenuhi jumlah yang sepatutnya ada bagi menampung kos saraan haji pada tahun tersebut. InsyaAllah, bantuan Allah itu amat luas kepada hamba-hambaNya yang bertaqwa dan berserah diri kepadaNya..

No comments:

Post a Comment