September 2010

Kisah impianku membawa kesemua anak-anakku untuk menunaikan Haji bersama-sama. Sebuah perancangan , cabaran dan kesukaran yang pasti bukan kepalang payahnya . Inilah kisah sebuah perjalanan menuju Allah sambil anak-anak kami pimpin bersama . Tuhanku...mudahkanlah ia !

Ianya bermula sebaik sahaja aku pulang menunaikan Haji pada Tahun 2009. Sebuah keluarga membawa kesemua anak-anak mereka yang berusia belasan tahun untuk turut menunaikan Haji telah mencetuskan impian dan nekadku untuk turut mengikuti jejak mereka.




Pada Tahun 2017 , usia kami, Insya Allah :

Abah - 55 tahun ; Mama - 52 tahun ; Shafiq - 29 tahun ; Faisal - 26 tahun ; Alia - 19 tahun ; Aneesa - 17 tahun

Tuhanku berilah kami usia yang diberkati....

Thursday, November 26, 2015

70 tahun tunggu tunai haji

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Sebahagian daripada 1.8 juta umat Islam daripada pelbagai peringkat umur di negara ini yang telah mendaftar untuk menunaikan ibadah haji perlu menanti antara 70 hingga 77 tahun sebelum berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima itu.


Sekalipun tempoh penantian untuk berpeluang menunaikan haji dilihat sebagai sesuatu yang mustahil, namun itulah realiti yang perlu dihadapi dan ditangani oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) iaitu agensi yang diberi tanggungjawab mengendalikan urusan haji.


Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, tempoh penantian itu juga boleh menjadi lebih lama lagi memandangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peruntukan kuota haji untuk Malaysia oleh kerajaan Arab Saudi yang selama ini berjumlah 28,000 jemaah telah dikurangkan.

Menurut beliau, pada 2012, kuota yang ditawarkan kepada Malaysia berjumlah 20,000 jemaah dan angka itu menurun kepada 21,000 pada tahun 2013 sebelum meningkat kepada 22,800 pada 2014.
“Itu kalau tiap tahun kita dapat kuota 28,000 setahun tetapi jika kurang (kuota) maka tempoh menunggu akan berpanjangan melebihi 70 tahun.

“Dengan lain perkataan, jika anda mendaftar untuk menunaikan haji pada hari ini, bermakna anda akan menunggu sehingga 70 tahun untuk berpeluang menunaikan haji,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ke­syukuran Tamat Operasi Haji Mu­sim Haji 1436/2015M di Ibu Pejabat Tabung Haji, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pe­ngarah Urusan Kumpulan dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail.
Utusan Malaysia difahamkan, daripada jumlah 1.8 juta pendaftar haji itu, 10,000 daripada mereka merupakan bakal jemaah warga emas yang berusia 75 tahun ke atas.

Dalam konteks pendaftar warga emas, Abdul Azeez berkata, bagi membolehkan kesemua golongan ini menunaikan haji sekali gus, mereka perlu membawa pengiring yang jumlahnya kelak akan me­lebihi separuh daripada kuota yang dibenarkan.

Sementara itu, beliau membe­ritahu, jumlah yang berdaftar untuk mengerjakan haji juga dijangka bertambah lebih tinggi lagi apabila terdapat 8.6 juta umat Islam di negara ini yang merupakan pendeposit atau pemegang akaun di Tabung Haji.

“Apabila simpanan telah mencukupi pastinya kebanyakan pendeposit akan mendaftar untuk menunaikan haji,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Tabung Haji katanya, akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mencari kaedah yang lebih berkesan untuk menyelesaikan pendaftaran haji yang telah melebihi 1.8 juta orang.

“Jawatankuasa tersebut akan dibentuk pada Disember ini dengan saya sendiri akan mengetuainya bagi memperhalusi kaedah-kaedah untuk membolehkan senarai me­nunggu ini dapat dikurangkan de­ngan banyak,” katanya.

Abdul Azeez berkata, jawatankuasa tersebut juga bakal menyemak semula tawaran haji yang akan diberikan kepada bakal jemaah yang mendaftar semula selepas lima tahun menunaikan haji.

“Mungkin kita akan lanjutkan kepada 10 tahun atau 15 tahun dan begitu juga tawaran diberikan kepada golongan kanak-kanak dan remaja yang nama mereka naik selepas lima tahun mereka didaf­tarkan untuk menunaikan haji oleh ibu bapa mereka,” katanya.



~ kita hanya mampu berusaha dan berdoa namun rezeki menunaikan haji hanya Allah jua yang tahu bagaimana cara kita dapat menjadi "tetamuNya".

Selagi kita yakin atas ketentuanNya selagi itulah tiada yang mustahil ....

 

Kerajaan kaji sistem giliran tunai haji

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula sistem giliran menunaikan haji, kata Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau berkata, hasil kajian jawatankuasa khas itu akan membantu pihaknya mencari satu kaedah bersesuaian bagi memendekkan tempoh menunggu bakal jemaah Haji yang telah mendaftar.
"Ini kerana jika ikut sistem sekarang, bakal jemaah haji kalau daftar selepas lima tahun secara automatik baru nama akan naik.

"Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang banyak anak-anak muda dapat tunai haji kerana sejak lahir ibu bapa terus daftar nama dengan Tabung Haji malah ada yang letak RM10,000 di dalam akaun simpanan anak-anak mereka dan apabila usia anak-anak mencecah 13 atau 14 tahun nama akan naik untuk pergi haji," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim Haji 1436 Hijrah di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini, semalam.

Abdul Azeez berkata, sehingga kini jumlah pendaftaran haji melebihi 1.8 juta orang dengan tempoh menunggu mencecah hampir 77 tahun.

Menurut Abdul Azeez, jawatankuasa khas itu akan diketuai beliau sendiri dan akan ditubuhkan secepat mungkin. - BERNAMA