Sejuta jemaah tunggu giliran haji
KUANTAN 10 Dis. - Sejuta penganut Islam di negara
ini berada dalam senarai menunggu untuk mengerjakan haji berikutan
kuota yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi hanya 28,000 orang bagi
setiap kali tibanya musim haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata,
daripada jumlah tersebut, terdapat kira-kira 14,000 bakal jemaah haji
yang berusia 75 tahun ke atas.
"Justeru, saya menasihati mereka yang pernah menunaikan haji agar
tidak memohon lagi dan memberi laluan kepada bakal jemaah baru supaya
mereka berpeluang menunaikan rukun Islam kelima itu.
"Kewajipan kita sebagai umat Islam hanya sekali melakukan ibadah haji
kerana jika dilakukan lebih daripada itu ia menjadi sunat. Maka,
sebaiknya berilah laluan kepada mereka yang lebih layak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Multaqa Guru Takmir, Guru KAFA dan Imam peringkat negeri di sini hari ini.
Hadir merasmikan program tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,
Datuk Othman Mustapha dan Timbalan Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang,
Datuk Mohd. Ghazali Abd. Aziz.
Sementara itu, menurut Jamil Khir, ketika ini terdapat 7.9 juta
pendeposit Tabung Haji dengan dana terkumpul sebanyak RM34.9 bilion.
"Daripada jumlah itu, kira-kira 81 peratus dana akan disimpan sebagai
dividen manakala, sebanyak 19 peratus untuk mengerjakan ibadah haji,"
jelasnya.