KUALA
LUMPUR 26 Nov. - Sebahagian daripada 1.8 juta umat Islam daripada
pelbagai peringkat umur di negara ini yang telah mendaftar untuk
menunaikan ibadah haji perlu menanti antara 70 hingga 77 tahun sebelum
berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Sekalipun tempoh penantian untuk
berpeluang menunaikan haji dilihat sebagai sesuatu yang mustahil, namun
itulah realiti yang perlu dihadapi dan ditangani oleh Lembaga Tabung
Haji (Tabung Haji) iaitu agensi yang diberi tanggungjawab mengendalikan
urusan haji.
Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez
Abdul Rahim berkata, tempoh penantian itu juga boleh menjadi lebih lama
lagi memandangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peruntukan
kuota haji untuk Malaysia oleh kerajaan Arab Saudi yang selama ini
berjumlah 28,000 jemaah telah dikurangkan.
Menurut beliau, pada 2012, kuota yang ditawarkan
kepada Malaysia berjumlah 20,000 jemaah dan angka itu menurun kepada
21,000 pada tahun 2013 sebelum meningkat kepada 22,800 pada 2014.
“Itu kalau tiap tahun kita dapat kuota 28,000
setahun tetapi jika kurang (kuota) maka tempoh menunggu akan
berpanjangan melebihi 70 tahun.
“Dengan lain perkataan, jika anda mendaftar untuk
menunaikan haji pada hari ini, bermakna anda akan menunggu sehingga 70
tahun untuk berpeluang menunaikan haji,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar
selepas Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim Haji 1436/2015M di
Ibu Pejabat Tabung Haji, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengarah Urusan Kumpulan dan
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail.
Utusan Malaysia difahamkan, daripada jumlah 1.8
juta pendaftar haji itu, 10,000 daripada mereka merupakan bakal jemaah
warga emas yang berusia 75 tahun ke atas.
Dalam konteks pendaftar warga emas, Abdul Azeez
berkata, bagi membolehkan kesemua golongan ini menunaikan haji sekali
gus, mereka perlu membawa pengiring yang jumlahnya kelak akan melebihi
separuh daripada kuota yang dibenarkan.
Sementara itu, beliau memberitahu, jumlah yang
berdaftar untuk mengerjakan haji juga dijangka bertambah lebih tinggi
lagi apabila terdapat 8.6 juta umat Islam di negara ini yang merupakan
pendeposit atau pemegang akaun di Tabung Haji.
“Apabila simpanan telah mencukupi pastinya kebanyakan pendeposit akan mendaftar untuk menunaikan haji,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Tabung Haji katanya, akan
menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mencari kaedah yang lebih
berkesan untuk menyelesaikan pendaftaran haji yang telah melebihi 1.8
juta orang.
“Jawatankuasa tersebut akan dibentuk pada
Disember ini dengan saya sendiri akan mengetuainya bagi memperhalusi
kaedah-kaedah untuk membolehkan senarai menunggu ini dapat dikurangkan
dengan banyak,” katanya.
Abdul Azeez berkata, jawatankuasa tersebut juga
bakal menyemak semula tawaran haji yang akan diberikan kepada bakal
jemaah yang mendaftar semula selepas lima tahun menunaikan haji.
“Mungkin
kita akan lanjutkan kepada 10 tahun atau 15 tahun dan begitu juga
tawaran diberikan kepada golongan kanak-kanak dan remaja yang nama
mereka naik selepas lima tahun mereka didaftarkan untuk menunaikan haji
oleh ibu bapa mereka,” katanya.
~ kita hanya mampu berusaha dan berdoa namun rezeki menunaikan haji hanya Allah jua yang tahu bagaimana cara kita dapat menjadi "tetamuNya".
Selagi kita yakin atas ketentuanNya selagi itulah tiada yang mustahil ....