September 2010

Kisah impianku membawa kesemua anak-anakku untuk menunaikan Haji bersama-sama. Sebuah perancangan , cabaran dan kesukaran yang pasti bukan kepalang payahnya . Inilah kisah sebuah perjalanan menuju Allah sambil anak-anak kami pimpin bersama . Tuhanku...mudahkanlah ia !

Ianya bermula sebaik sahaja aku pulang menunaikan Haji pada Tahun 2009. Sebuah keluarga membawa kesemua anak-anak mereka yang berusia belasan tahun untuk turut menunaikan Haji telah mencetuskan impian dan nekadku untuk turut mengikuti jejak mereka.




Pada Tahun 2017 , usia kami, Insya Allah :

Abah - 55 tahun ; Mama - 52 tahun ; Shafiq - 29 tahun ; Faisal - 26 tahun ; Alia - 19 tahun ; Aneesa - 17 tahun

Tuhanku berilah kami usia yang diberkati....

Monday, September 12, 2011

Arab Saudi setuju tambah 2,000 kuota jemaah

PUTRAJAYA: Lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang menunaikan ibadat haji tahun ini apabila kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk menambah kuota jemaah haji negara ini kepada 28,000 berbanding 26,000 tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata tambahan jemaah sebanyak 2,000 itu adalah sesuatu yang memadai kerana lebih ramai rakyat negara ini berpeluang mengerjakan haji pada tahun ini yang dijangka bermula bulan depan.Beliau berkata, Kerajaan Arab Saudi memberikan persetujuan itu dalam rundingan dengan kerajaan Malaysia yang diwakili Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dengan Menteri Haji dan Wakaf Arab Saudi, baru-baru ini.“Pada masa sama, kita juga bercadang memohon kuota tambahan bagi membolehkan seramai mungkin rakyat Malaysia menunaikan haji, manakala dari segi kos Tabung Haji masih mengekalkannya iaitu sebanyak RM9,980 seorang.

“Ini menggambarkan kerajaan sentiasa menjaga kebajikan dan memberi kemudahan kepada rakyat untuk menunaikan ibadah haji dengan sempurna dan selesa, manakala kos lain ditanggung sepenuhnya oleh Tabung Haji,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pecah tanah untuk projek pembinaan Kompleks Pentadbiran Bersepadu bernilai hampir RM400 juta berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3, di sini, semalam.

Kompleks berkenaan akan dimajukan anak syarikat Tabung Haji, Tabung Haji Properties yang dijangka siap pada 2014 bagi menempatkan lebih lapan jabatan dan agensi agama Islam di bawah satu bumbung termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Turut hadir, Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor; Pengarah Urusan Tabung Haji, Datuk Paduka Ismee Ismail dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, sehingga kini terdapat lebih 5.5 juta pendeposit Tabung Haji termasuk hampir 400,000 daripadanya mempunyai simpanan mencukupi dan layak memohon untuk menunaikan ibadah haji, pada musim ini.

Bagaimanapun, Jamil Khir berkata Tabung Haji akan memberi keutamaan kepada mereka yang sudah berusia dan kali pertama menunaikan haji.

“Berdasarkan apa dipersetujui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Menteri Haji Arab Saudi, kuota bagi setiap negara Islam menghantar jemaah ialah 0.1 peratus daripada jumlah rakyatnya yang beragama Islam sesebuah negara.

“Di Malaysia ini unik sikit kerana kerajaan Arab Saudi memberikan kuota mengikut 0.1 peratus berdasarkan jumlah keseluruhan lebih 28 juta rakyatnya termasuk mereka yang bukan beragama Islam menyebabkan lebih ramai umat Islam berpeluang menunaikan rukun Islam kelima,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Malaysia mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Arab Saudi supaya kuota jemaah haji negara bagi musim ini ditambah kerana bilangan penduduknya sudah meningkat kepada lebih 28 juta orang berbanding 26 juta sebelum ini.

No comments:

Post a Comment