September 2010

Kisah impianku membawa kesemua anak-anakku untuk menunaikan Haji bersama-sama. Sebuah perancangan , cabaran dan kesukaran yang pasti bukan kepalang payahnya . Inilah kisah sebuah perjalanan menuju Allah sambil anak-anak kami pimpin bersama . Tuhanku...mudahkanlah ia !

Ianya bermula sebaik sahaja aku pulang menunaikan Haji pada Tahun 2009. Sebuah keluarga membawa kesemua anak-anak mereka yang berusia belasan tahun untuk turut menunaikan Haji telah mencetuskan impian dan nekadku untuk turut mengikuti jejak mereka.




Pada Tahun 2017 , usia kami, Insya Allah :

Abah - 55 tahun ; Mama - 52 tahun ; Shafiq - 29 tahun ; Faisal - 26 tahun ; Alia - 19 tahun ; Aneesa - 17 tahun

Tuhanku berilah kami usia yang diberkati....

Monday, October 17, 2011

Kenangan bersama Emak...



Masih aku ingat , sebaik sahaja pulang dari menunaikan Umrah pada tahun 1997, Allah berikan aku sedikit rezeki dimana aku dapat mengumpul wang sebanyak RM9000 dan aku terus mengajak suamiku untuk mendaftar untuk kami bertiga iaitu , aku, suamiku dan emak. Jadi seorang RM3000. Waktu mendaftar di Kuching, Sarawak, giliran kami pergi Haji ialah pada tahun 2007 iaitu 10 tahun menunggu. "Lamanya", kataku pada pihak Tabung Haji. Rasa sedih sangat waktu itu kerana berharap hendak pergi awal tetapi waktu itupun duitpun tidak cukup, baru sahaja mendaftar.

Sejak mendaftar, aku sudah mula merancang untuk mengumpul duit buat kami bertiga. Tapi masa berlalu dan berbagai perkara yang berlaku didalam kehidupan. Emak beria-ia hendak pergi Haji tetapi dek kerana duit belum cukup dan giliran masih jauh, aku berpakat bersama adik beradikku untuk menghantar Emak menunaikan Umrah. Alhamdullilah , sampai juga hajatnya untuk berada di Masjidil Haram. Malangnya pada tahun 2003 , Emak pergi buat selama-lamanya. Terkilan kerana seminggu sebelum meninggal , Emak begitu gembira apabila aku membawa dia Solat di Masjid Putra Jaya, "Emak nak macam ni lah kita berdua kat Masjidil Haram", bisiknya padaku sewaktu aku memimpin tangannya untuk turun di tempat mengambil wudu di Masjid Putra Jaya.

Walaupun segalanya tinggal kenangan , setidak-tidaknya hatiku sangat lega kerana seumur hayatnya Emak pernah juga melakukan Umrah di Baitullah. Insya Allah, Haji anak Emak yang merupakan Haji yang kedua nanti , merupakan Haji Sunat buat diriku , akan aku sendiri yang lakukan Haji Badal buat Emak. Emak tidak dapat lakukan Haji emak sendiri ...biarlah anak Emak sendiri yang buatkan untuk Emak....


No comments:

Post a Comment